5G: Kementerian perlukan beberapa minggu

Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil - Foto Bernama
Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Komunikasi dan Digital memerlukan tempoh beberapa minggu bagi memastikan hala tuju pelaksanaan projek rangkaian 5G.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, satu pertemuan bersama Kementerian Kewangan (MOF) akan diadakan pada minggu hadapan bagi meneliti cadangan dan tindakan.

"Dalam mesyuarat jemaah menteri, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi telah menyatakan bahawa kementerian ini dan MOF perlu mengadakan penilaian teknikal dan meneliti beberapa aspek untuk pastikan bahawa 'roll out' rangkaian 5G tidak terganggu serta dapat dipercepatkan," katanya.

Menurutnya, penelitian dibuat kementerian bukan hanya terhadap isu teknikal tetapi juga aspek perundangan.

"Prosesnya telah bermula hari ini," katanya ketika sidang akhbar di kementeriannya pada Rabu.

Beliau berkata, meskipun arahan semakan semula kontrak telah dikeluarkan, kerja-kerja pelaksanaan 5G masih diteruskan dan tidak akan ditangguhkan.

"Setakat 31 Oktober lalu Digital Nasional Berhad (DNB) yang merupakan syarikat di bawah seliaan MOF sudah melaksanakan kerja pembangunan rangkaian 5G merangkumi 36 peratus membabitkan 2,750 kawasan telah disiapkan," katanya.

Isnin lalu, kerajaan mengarahkan supaya semua perjanjian berhubung projek pelaksanaan 5G di seluruh negara disemak semula berikutan perjanjian yang diberikan kepada DBN bernilai RM11 bilion tidak dibuat secara telus.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelaksanaan 5G di Malaysia masih kekal dalam landasan betul walaupun dua daripada enam syarikat pengendali operasi mudah alih (MNO) menarik diri daripada melanggan saham DNB.

Kerajaan meletakkan keutamaan untuk memenuhi tempoh masa tiga tahun supaya negara mempunyai 80 peratus capaian 5G menjelang 2024.

Pada perkembangan berasingan, Fahmi berkata, K-KOMM disahkan sebagai Kementerian Komunikasi dan Digital oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

"Mesyuarat jemaah menteri memutuskan bahawa aspek seni dan kebudayaan bukan lagi di bawah kementerian ini dan ia akan diumumkan oleh menteri berkaitan," katanya.