Mesyuarat kabinet tanpa tali leher curi tumpuan

Anggota kabinet tidak mengenakan tali leher pada mesyuarat kabinet pagi ini.
Anggota kabinet tidak mengenakan tali leher pada mesyuarat kabinet pagi ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat kabinet Kerajaan Perpaduan yang berlangsung pagi ini tampil berbeza apabila jemaah menteri tidak mengenakan tali leher.

Ia menerusi foto yang dikongsikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Twitter pada Rabu.

Turut kelihatan ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali juga tidak memakai tali leher seperti kebiasaannya.

Di dalam foto tersebut, kesemua menteri lelaki hanya memakai sut gelap yang dipadankan dengan kemeja rona cerah.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pada sidang media di kementeriannya menjelaskan tiada arahan untuk berbuat demikian namun ia digambarkan sebagai sebuah pasukan yang sedang bekerja.

"Sebenarnya pagi tadi kami dipanggil untuk mengambil foto, dan ada permintaan agar menteri lelaki tidak memakainya.

"Ia mungkin boleh jadi sebagai fesyen," selorohnya.

Menurutnya, mesyuarat kabinet berlangsung dalam suasana yang sangat produktif.

Artikel Berkaitan:

"Saya jangkakan ia memakan tempoh agak lama tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin kami bekerja dengan pantas bagi membolehkan masalah ketirisan dan aspek penjimatan dapat dilakukan," katanya.

Sejak dilantik menerajui negara, Anwar tidak pernah dilihat memakai tali leher pada majlis rasmi kerajaan kecuali ke Istana Negara.

Pada hari pertama menjejakkan kaki ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri, beliau lebih selesa menggayakan baju Melayu berwarna merah jambu lembut lengkap bercapal.

Keesokannya pula, beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara selesa menggayakan baju batik berwarna ungu di kala penjawat awam lain lengkap mengenakan lounge suit.

Sementara ketika tampil di Kementerian Kewangan pada Selasa, beliau kekal dengan penampilan ringkas tidak memakai tali leher meskipun mengenakan sut pejabat.