Warga emas OKU semangat mengundi

Aminah (kanan) bersama kakaknya, Asmah menunjukkan kesan dakwat pada jari kelingking selepas selesai membuang undi di pusat pengundian di SK Pontian pada Rabu.
Aminah (kanan) bersama kakaknya, Asmah menunjukkan kesan dakwat pada jari kelingking selepas selesai membuang undi di pusat pengundian di SK Pontian pada Rabu.
A
A
A

ROMPIN - Biarpun terpaksa bertongkat ekoran kecacatan fizikal dialami tidak menghalang seorang warga emas kurang upaya datang menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Pontian di sini pada Rabu.

Aminah Sidek, 62, dari Kampung Feri Pontian di sini datang seawal jam 8 pagi ditemani kakaknya, Asmah Sidek, 65, yang turut mengundi di pusat mengundi itu.

Dia yang dilahirkan tanpa sebelah kaki mengakui sentiasa bersemangat untuk mengundi dan tidak pernah terlepas menunaikan tanggungjawab itu sejak berusia 20 tahun.

"Sebagai rakyat, mengundi satu tanggungjawab sebab itu saya tetap datang biarpun terpaksa berjalan mengunakan tongkat.

"Allhamdulillah, saya tidak berdepan banyak masalah dan proses membuang undi di sini berjalan lancar atas bantuan pelbagai pihak termasuk petugas, di pusat mengundi," katanya.

Sementara itu, Asmah berkata, dia memilih untuk keluar lebih awal memandangkan cuaca baik pada sebelah pagi.

Menurutnya, keluarganya juga mengundi di pusat mengundi itu namun ada yang terpaksa datang agak lewat kerana bekerja.

Aminah dan Asmah antara 28,108 pengundi berdaftar yang akan mengundi di 17 pusat mengundi yang di buka untuk PRU15 DUN Tioman.

Artikel Berkaitan:

PRU15 DUN Tioman yang sepatutnya berlangsung serentak pada 19 November lalu terpaksa ditangguhkan ekoran kematian calon Perikatan Nasional (PN), Allahyarham Md Yunus Ramli, 61, pada awal pagi hari pengundian.

PRU15 DUN Tioman menyaksikan pertembungan antara calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Nor Idayu Hashim (PN),Osman A Bakar (Pejuang) dan calon Bebas, Sulaiman Bakar manakala calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly memberi laluan kepada calon BN.