Kabinet Kerajaan Perpaduan tekad laksana tanggungjawab

Barisan Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan menandatangani Surat Cara Pelantikan selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. - Foto Bernama
Barisan Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan menandatangani Surat Cara Pelantikan selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu menzahirkan tekad untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan sebaiknya dalam menerajui kementerian masing-masing.

Selain fokus kepada usaha untuk menambah baik dasar serta polisi di kementerian, anggota kabinet yang baharu dilantik itu juga berjanji untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat menerusi bidang kuasa kementerian masing-masing.

Bercakap kepada Bernama, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, usaha menyelesaikan isu hartal doktor kontrak menjadi agenda utama beliau selaras dengan janji yang digariskan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum ini.

"Sudah tentu kita juga akan memberi tumpuan kepada perkara yang sering didengari sebelum ini, dari sudut infrastruktur dan perkhidmatan kesihatan,” katanya yang mahu memanfaatkan pengalamannya sebagai pengamal perubatan bagi memastikan tahap kesihatan rakyat negara ini berada di tahap terbaik terutama ketika Malaysia masih menghadapi cabaran peralihan Covid-19.

Dr Zaliha Mustafa yang pertama kali menyertai kabinet, juga merupakan wanita pertama dilantik sebagai Menteri Kesihatan yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini pada Sabtu.

Turut berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menteri Pendidikan,Fadlina Sidek yang juga muka baharu dalam kabinet pula berhasrat menubuhkan jawatankuasa penasihat dalam usaha mengenal pasti dan menangani isu utama di kementerian itu, selain menyusun semula perancangan dalam usaha memperkasa sistem pendidikan negara.

"Saya akan mendengar semua (pandangan) pemegang taruh termasuk guru dan ibu bapa serta murid- murid, kerana saya adalah Menteri Pendidikan untuk semua, " katanya yang mahu memanfaatkan pengalaman sebagai aktivis sosial serta peguam untuk berbakti kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pula menyuarakan hasrat untuk memperkasa keupayaan belia, di samping berusaha memacu kecemerlangan atlet lelaki dan wanita selain beriltizam memastikan golongan profesional sukan dapat melaksanakan tugasan tanpa campur tangan politik bagi mewujudkan industri yang lebih berdaya saing.

Bekas Menteri Besar Perak, Senator Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang kini dilantik sebagai Menteri Luar berkata, agenda utama adalah untuk memperkasakan dasar luar negara dan meletakkan nama Malaysia di persada antarabangsa dengan menterjemahkan idealisme dasar luar yang dibawa perdana menteri.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau mahu menumpukan kepada pelaksanaan inisiatif pembangunan yang lebih lestari dan pemuliharaan alam sekitar bagi mencegah impak perubahan iklim yang ekstrem seperti banjir, banjir kilat dan tanah runtuh.

Kembali menerajui Kementerian Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau akan menangani beberapa isu penting yang memerlukan perhatian segera termasuk penambahbaikan perkhidmatan sistem pengangkutan khususnya perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) di Lembah Klang.

Sementara itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata tumpuan akan diberikan kepada usaha-usaha menstabilkan negara dalam tempoh dua minggu ini, sebelum tumpuan diberikan sepenuhnya kepada inisiatif memacu dan membangunkan ekonomi negara.

"Di pihak saya, cabaran dan fokus utama ialah bagaimana kita meletakkan hala tuju ekonomi negara di landasan yang boleh meningkatkan gaji, pendapatan rakyat ini," katanya yang turut optimis barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan mampu membawa negara ke hadapan.

Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan barisan kabinet Kerajaan Perpaduan selain memaklumkan mesyuarat khas bersama jemaah menteri akan diadakan pada Isnin ini mengenai peraturan baharu dalam pentadbiran selain cara pengurusan kewangan. - Bernama