Suami isteri gagal bawa dadah kepada 2.6 juta penagih

Muhamad Zaki (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan syabu bernilai RM9.5 juta yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Kuala Krai pada Sabtu.
Muhamad Zaki (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan syabu bernilai RM9.5 juta yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Kuala Krai pada Sabtu.
A
A
A

KUALA KRAI - Sepasang suami isteri gagal membawa bekalan dadah jenis syabu kepada 2.6 juta penagih apabila mereka dicekup di hadapan Eco Park Batu Jong di sini pada Jumaat.

Mereka yang dalam perjalanan ke Lembah Klang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza itu ditahan pada jam 8 pagi bersama syabu bernilai RM9.5 juta.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suami isteri berusia 26 dan 28 tahun itu turut membawa bersama dua anak yang berusia lapan bulan dan empat tahun semasa melakukan pekerjaan terbabit.

"Semasa ditahan, hasil pemeriksaan di belakang kenderaan tersebut kami telah menemui 11 guni putih yang setiapnya mengandungi 24 bungkusan foil warna silver disyaki mengandungi syabu seberat 264 kilogram (kg).

"Kami turut merampas wang tunai RM8,899 dan mata wang Bath Thailand berjumlah 200," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai pada Sabtu.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati suspek menerima bayaran upah sebanyak RM5,000 untuk setiap penghantaran manakala kenderaan yang digunakan adalah disewa.

Ujarnya, suspek juga dipercayai telah melakukan pekerjaan tersebut sebanyak enam kali dan dadah terbabit adalah untuk pasaran Lembah Klang.

Beliau berkata, mereka direman bermula Sabtu hingga 9 Disember bagi siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, pihaknya telah menahan enam lelaki berusia 22 hingga 34 tahun di lokasi berasingan yang melibatkan rampasan dadah jenis pil yaba berjumlah 1,471 biji.

"Ia melibatkan tangkapan di Kampung Peria (1) dan Chuchoh Puteri (5)," katanya.