Suami isteri ditahan, cuba bawa masuk ganja dari Thailand

Zulkepli
Zulkepli
A
A
A

PENGKALAN HULU - Cubaan suami isteri membawa masuk dadah jenis ganja melalui kawasan sempadan berjaya digagalkan polis dalam satu pemeriksaan sekatan jalan raya di Bukit Berapit, Ayer Panas Betong di sini pada Jumaat.

Dalam pemeriksaan sekitar jam 1 petang itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu menahan pasangan warga tempatan berusia 34 dan 35 tahun.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, pemeriksaan ke atas kereta jenis Viva dinaiki menjumpai lima ketulan mampat daun kering dibalut kertas biru dan plastik lut sinar disyaki dadah jenis ganja.

Menurutnya, turut ditemui satu peket plastik berisi daun kering disyaki ganja yang disorokkan di poket belakang seluar dipakai suspek.

"Dadah dianggarkan seberat 5 kilogram bernilai lebih RM15,000 ini dipercayai di bawa masuk dari Thailand ke Malaysia untuk diedarkan di pasaran tempatan.

"Mereka cuba alih pandangan pihak berkuasa dengan masuk ketika waktu solat Jumaat, bagaimanapun taktik itu tidak berjaya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati, lelaki yang bekerja sebagai buruh itu mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah manakala isterinya bekerja kilang tidak mempunyai rekod kesalahan.

"Kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 21 April bagi siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Katanya, susulan kelulusan penggunaan ganja di negara Thailand, polis akan meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan negara terutama daripada aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes seumpama ini, boleh disalurkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.