'Pelantikan Ahmad Zahid beri gambaran salah kepada dunia'

Robert Ling
Robert Ling
A
A
A

ALOR SETAR - Pelantikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dibimbangi memberi isyarat salah kepada dunia berhubung pendirian negara menentang rasuah.

Naib Pengerusi sayap bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Robert Ling Kui Ee mendakwa, pelantikan Presiden UMNO itu ke jawatan kedua paling berkuasa dalam kerajaan menggambarkan seolah Malaysia bertolak ansur dengan rasuah.

Menurutnya, pelantikan Ahmad Zahid juga merupakan satu pengkhianatan terbesar Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pengundi.

“Tidak pernah sebelum ini dalam sejarah negara, seseorang yang menghadapi pertuduhan rasuah dilantik ke jawatan kedua paling berkuasa dalam kerajaan.

“Ini kerana Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur termasuk 12 pertuduhan pecah amanah jenayah, 27 pengubahan wang haram serta lapan pertuduhan rasuah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu, selepas Anwar mengumumkan barisan kabinet pada Jumaat.

Exco Kedah itu mendakwa, keputusan berkenaan juga memalukan negara di peringkat antarabangsa.

“Bagi saya ini pengkhianatan sepenuhnya kepada rakyat, baik kepada mereka yang mengundi PH atau tidak.

"Untuk melantik ahli politik yang berdepan banyak pertuduhan serius sebagai Timbalan Perdana Menteri juga bertentangan dengan tadbir urus yang baik,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam itu turut mendakwa, pelantikan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu membuktikan Anwar bukanlah seorang reformis sebenar, sebaliknya dilihat sebagai individu yang berkuasa dan mengutamakan kepentingan politik berbanding etika dan tadbir urus yang baik.

"Isyarat yang dihantar di peringkat antarabangsa ialah Malaysia bertolak ansur dengan rasuah. Kelak akan beri kesan ke atas pelabur dan kedudukan kewangan negara,” katanya.

Menurutnya, situasi tersebut akan dapat dielakkan sekiranya Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Pendirian PN menentang rasuah tiada kompromi, Muhyiddin secara konsisten menolak untuk membuat perjanjian dengan Ahmad Zahid disebabkan isu rasuah.

“Sekarang kita tahulah kenapa Ahmad Zahid terdesak menyokong PH dan Anwar untuk membentuk kerajaan. Beliau menerima ganjaran kerana membawa BN dalam PH dan membantu Anwar mencapai cita-cita menjadi PM," katanya.

Dalam pada itu, Robert berharap rakyat tabah dan tenang ketika negara ini berdepan saat ‘paling gelap’ dalam sejarah politik Malaysia.

“Kita mesti bersatu sekarang, gandakan semula usaha untuk menubuhkan kerajaan yang bersih, bebas daripada segala unsur rasuah.

"PN tidak akan goyah dalam perjuangan kami untuk teruskan tadbir urus yang baik selain menentang rasuah," katanya.

Pada Jumaat, Anwar mengumumkan kabinet Kerajaan Perpaduan terdiri daripada 28 menteri, selepas seminggu beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10.

Kesemua anggota kabinet dijadualkan mengangkat sumpah di Istana Negara pada petang Sabtu.