Dilantik semula Exco, tiga ADUN BN sedia galas cabaran baharu

Gambar dari kiri: Syed Ibrahim, Mohd Soffi, Mohammad Fakhruddin
Gambar dari kiri: Syed Ibrahim, Mohd Soffi, Mohammad Fakhruddin
A
A
A

PEKAN - Tiga Exco kerajaan Pahang daripada Barisan Nasional (BN) yang pernah menggalas posisi sama pada penggal lalu berazam untuk mendukung amanah dan kepercayaan dengan sebaiknya.

Namun suasana yang berbeza di bawah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk BN dan Pakatan Harapan (PH) bakal menjadi cabaran baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, rakyat mahu melihat perubahan dalam gabungan kerajaan yang dibentuk dan tidak tertumpu kepada satu parti sahaja.

Beliau yang sudah tiga penggal menggalas jawatan Exco menyifatkan ia adalah satu amanah yang lebih besar bagi dirinya.

"Sekarang adalah situasi yang lebih mencabar kerana dalam keadaan parti BN menguncup (kerusi berkurangan) kita nampak rakyat nak tengok gabungan baharu dalam membela hak mereka.

"Dulu mereka percaya kepada satu parti, tapi sekarang mereka nak tengok kita bekerjasama, jadi kita mesti pandai membiasakan diri dalam suasana dan cara bekerja yang baharu," katanya ketika ditemui di Istana Abu Bakar di sini pada Jumaat.

Sementara itu, ADUN Benta, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Razak mengakui bersemangat untuk kembali bekerja demi kesejahteraan rakyat.

Beliau menzahirkan rasa syukur di atas kepercayaan yang diterima sehingga mampu memegang jawatan Exco masuk penggal kelima.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah melantik kembali saya sebagai Exco.

"Ia adalah satu penghormatan kerana diberi kepercayaan dan amanah untuk menggalas tanggungjawab sebagai Exco.

"Insya-ALLAH saya tidak akan sia-siakan dan akan membantu kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam merencana serta melaksanakan segala perancangan demi pembangunan dan kemajuan negeri," jelas beliau.

Turut senada, ADUN Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang mengakui bahawa situasi kini jauh berbeza.

Menurutnya, kerjasama menjadi perkara utama dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terbela.

"Saya amat berterima kasih di atas perkenan Al-Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal kerana kembali dilantik sebagai Exco.

"Sudah pasti tanggungjawab yang diberikan adalah besar dan dalam suasana kini, dua parti perlu bekerjasama dengan baik bagi memastikan agenda yang dibawa mampu memberi manfaat kepada negeri dan rakyat," ujar beliau.