8 ADUN BN, dua PH angkat sumpah Exco Pahang

10 ADUN BN dan PH mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Pahang pada Jumaat. - Foto Twitter Pahang Media
10 ADUN BN dan PH mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Pahang pada Jumaat. - Foto Twitter Pahang Media
A
A
A

PEKAN - Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selesai mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Pahang pada Jumaat.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco membabitkan lapan ADUN daripada Barisan Nasional (BN) dan dua, Pakatan Harapan (PH) diadakan di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 3 petang.

Berangkat sama dalam istiadat itu ialah Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Upacara lantikan barisan Exco mewakili blok parti BN dan PH dibuat selepas empat hari, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilantik Menteri Besar secara rasmi.

Mendahului istiadat mengangkat sumpah itu adalah Datuk Seri Ir Mohd Soffi Razak (BN- Benta); Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (BN-Kerdau) dan Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (BN- Bebar), masing-masing pernah memegang jawatan Exco di bawah pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

Diikuti lima lagi ADUN iaitu Ir Razali Kassim (BN-Muadzam Shah), Datuk Mohd Nizar Najib (BN- Peramu Jaya), Datuk Sabariah Saidan (BN- Guai) dan Fadzli Mohamad Kamal (BN-Dong) merupakan lantikan baharu bagi jawatan berkenaan.

Turut tersenarai dua wakil gabungan parti dalam PH iaitu Sim Chon Siang (PKR-Teruntum) dan Leong Yu Man (DAP- Triang).

Kesemua mereka kemudian menandatangani surat sumpah dengan disaksikan Wan Rosdy, dan Tengku Muhammad Iskandar.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir menyaksikan istiadat pelantikan itu, Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad.

Pada 28 November lalu, ADUN Jelai, Wan Rosdy mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini menyaksikan kerajaan negeri tidak boleh dibentuk ekoran tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah 22 daripada 42 kerusi DUN Pahang.

BN hanya menang 16 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) 17 kerusi dan hanya lapan kerusi dimenangi PH.

Kerjasama antara gabungan PH dan BN menjadikan mereka mempunyai kerusi yang mencukupi iaitu 24 kerusi DUN melepasi angka majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Sementara pengundian DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Disember ini susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61, yang meninggal dunia pada hari pengundian 19 November lalu akibat serangan jantung.