Wan Rosdy angkat sumpah sebagai MB Pahang

Wan Rosdy mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang di Istana Abu Bakar Pekan pada Isnin.
Wan Rosdy mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang di Istana Abu Bakar Pekan pada Isnin.
A
A
A

PEKAN - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kembali menerajui Pahang selepas sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai menyempurnakan istiadat itu di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abu Bakar di sini jam11.30 pagi.

Wan Rosdy, 64, kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Wan Rosdy yang memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam hadir diiringi isterinya, Datin Seri Burhah Mohammed memasuki balairung dalam istana terbabit bagi upacara istiadat berkenaan.

Turut kelihatan sembilan wakili rakyat daripada Pakatan Harapan (PH) diketahui Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, Ahli Parlimen Raub, Chow Yui Hui, ADUN Semambu,Chan Chun Kuang, ADUN Mentakab, Woo Chee Wan, ADUN Bilut,Lee Chin Chen, ADUN Ketari, Su Keong Siong, ADUN Triang, Leong Yu Man dan ADUN Tanah Rata, Ho Chi Yang serta ADUN Teruntum, Sim Chon Siang.

Pemimpin daripada BN juga kelihatan.

Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang dibuat selepas Tengku Hassanal memperkenan melantik Wan Rosdy jawatan terbabit menerusi gabungan parti BN dan PH.

Baginda memberi perkenan selaras dengan Perkara 3.(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

Artikel Berkaitan:

Pahang mempunyai 42 kerusi DUN daripada jumlah itu PN beroleh 17 kerusi, BN pula sebanyak 16 dan PH hanya lapan kerusi.

Keputusan itu menyebabkan kerajaan Pahang masih belum terbentuk setelah tiada parti memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Susulan itu terdapat siri perbincangan yang diadakan antara Perikatan Nasional (PN) dan BN, selain BN dan PH untuk menubuhkan kerajaan.

Pada 24 November lalu, PH menyatakan sokongan kepada Wan Rosdy sebagai Menteri Besar Pahang, yang dikatakan menandakan persetujuan dua gabungan itu untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, Wan Rosdy yang pernah dilantik sebagai Menteri Besar pada 15 Mei 2018 berjaya menyelesaikan kemelut kerajaan tergantung selama sembilan hari selepas pasca PRU15 berakhirnya.

Wan Rosdy bertanding bagi kerusi DUN Jelai pada PRU15 dan menang dengan majoriti 6,983 undi.

Beliau tidak pernah tewas di DUN Jelai sejak 2004 dan sebelum menceburi bidang politik, Wan Rosdy pernah berkhidmat sebagai pegawai kanan Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Wan Rosdy yang merupakan Ketua UMNO Cameron Highlands telah berkahwin dengan Burhah dan dikurniakan tiga anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.

Wan Rosdy mempunyai kelulusan peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM) dan mengambil Diploma Pengajian Perdagangan Institut Teknologi Mara yang kini dikenali UiTM.

Beliau pernah dilantik sebagai Exco Perumahan dan Perbandaran Pahang dan Exco Pembangunan Luar bandar dan Hal Ehwal Orang Asli (2008-2013).