MBSA pertama di Malaysia laksana SATMAS

Mohd Rashidi (tiga kanan) semasa sesi FGT yang disertai seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan MBSA, pemaju, PBT negeri Selangor dan agensi-agensi teknikal terbabit.
Mohd Rashidi (tiga kanan) semasa sesi FGT yang disertai seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan MBSA, pemaju, PBT negeri Selangor dan agensi-agensi teknikal terbabit.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia bakal melaksanakan Pelan Induk Pengurusan Lalu Lintas Shah Alam (SATMAS).

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kawasan kajian bagi SATMAS merangkumi keseluruhan kawasan di bawah pentadbiran MBSA berkeluasan 30,310.72 hektar dan dilakukan mengikut fasa selama setahun.

Menurut Shahrin, SATMAS akan memberikan fokus kajian terhadap sistem sirkulasi lalu lintas dan persimpangan semasa, corak perjalanan dan penjanaan perjalanan dan tahap perkhidmatan (LOS) jalan dan persimpangan.

"Pengurusan lalu lintas merupakan satu kaedah kejuruteraan yang bertujuan mengurangkan konflik pergerakan kenderaan, penambahbaikan kadar aliran kenderaan dan meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.

"Pengurusan lalu lintas meliputi kriteria-kriteria seperti meningkatkan penggunaan fasiliti sedia ada mengikut keperluan pengguna jalan raya, meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya, melindungi alam sekitar, mempunyai reka bentuk mudah diubah suai bagi memenuhi keperluan semasa pengguna jalan raya dan kos berpatutan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Rabu lalu, MBSA mengadakan Sesi Focus Group Discussion (FGD) Bagi Pelan Induk Pengurusan Lalulintas Shah Alam (Shah Alam Traffic Masterplan) disempurnakan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan di Wyndham Hotel, Klang.

Sesi FGD ini telah melibatkan penyertaan seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan MBSA, pemaju, PBT negeri Selangor dan agensi-agensi teknikal terbabit.

Sesi FGD ini merupakan inisiatif pihak MBSA untuk memastikan kawasan di bawah pentadbirannya mempunyai sistem pengurusan lalu lintas bersistematik, efisien dan terbaik sejajar dengan hasrat untuk menjadikan bandar raya Shah Alam sebuah bandar raya yang berkualiti, sejahtera dan bertaraf dunia.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Shahrin berkata, berdasarkan sesi FGD itu, MBSA menyasarkan untuk mengenal pasti keadaan semasa pengurusan trafik dan masalah berkaitan kemudahan tersebut.

Menurutnya, MBSA juga akan menyediakan cadangan dan garis panduan yang berkaitan bagi penyelesaian permasalahan di tapak melibatkan pengurusan trafik.

"Ini adalah bagi memperkukuhkan sistem pengangkutan dan lalulintas yang menyeluruh dan berkesan dengan aksesibiliti yang mudah untuk menghubungkan pusat-pusat penempatan.

"Hasil kajian sesi FGD ini akan menjadi asas rujukan dalam merancang dan menambah baik sistem perhubungan jalan raya dan lalu lintas di bawah kawasan pentadbiran MBSA," katanya.

Beliau menambah, ia juga akan digunakan sebagai perancangan penyuraian lalu lintas terutama di kawasan tumpuan agar pengurusan lalu lintas menjadi lebih terurus dan bersistematik.