MMKN Selangor setuju cadangan awal jajaran ECRL

Sze Han semasa menjawab pertanyaan di sidang DUN Selangor pada Jumaat.
Sze Han semasa menjawab pertanyaan di sidang DUN Selangor pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor bersetuju meneruskan cadangan awal jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membabitkan C1B dan C2 dengan permohonan rundingan di bawah 20 A, Akta Perancang Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172).

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, selepas pewartaan di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960), permohonan cadangan awal itu boleh dirunding di bawah Jawatankuasa Peracang Negeri (JK-JPNS) di bawah Akta 172.

Beliau memberitahu, permohonan cadangan tapak binaan sementara seperti 'batching plan' dan 'base camp' perlu mendapatkan Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (KMTT) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat.

"Kerja awalan dibenarkan setelah Seksyen 4 ( APT 1960) diwartakan dan kerja tanah boleh dimulakan setelah Seksyen 8 APT 1960 diwartakan dan hanya khusus tanah kerajaan sahaja yang terlibat dengan jajaran ECRL," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hong mengenai kemajuan proses pengambilalihan tanah ECRL di negeri ini semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat.

Sze Han berkata, projek itu melibatkan dua jajaran iaitu membabitkan C1B iaitu di daerah Gombak dan C2 merangkumi daerah Gombak, Klang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Ujar beliau, tanah milik individu hanya dibenarkan masuk setelah bayaran pampasan dijelaskan kepada pemilik tanah dan Borang K telah disokong di dalam hak milik.

"Pengambilan bawah tanah menggunakan kaedah pengambilan biasa dan bukannya pengambilan Tanah bawah Tanah ( TBT ) oleh kerana kerajaan Selangor belum mempunyai kaedah pengambilan TBT," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Justeru, katanya, pihak Rail Link Sdn Bhd (MRL) perlu mematuhi Carta Alir Proses Perancangan Pembangunan Lebuhraya dan Infrastruktur Utama yang telah dikeluarkan oleh PlanMalaysia @ Selangor dan menyelesaikan isu berbangkit berkaitan tanah termasuk tanah rizab Melayu mengikut peraturan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa di negeri Selangor.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pengangkutan Malaysia ( MOT ) telah mengemukakan permohonan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi Jajaran C1B ke Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Negeri Selangor (JKPTG Negeri Selangor ).

Ujarnya, perkara itu akan dibawa kepada JKPTG melalui Pengarah Tanah dan Galian Selangor kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk proses pewartaan negeri Selangor.

"Manakala untuk jajaran C2 pula, permohonan bagi tujuan pewartaan Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 telah dikemukakan oleh MRL melalui MOT pada 13 Oktober 2022 dan masih diproses di peringkat JKPTG Selangor sebelum diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Selangor untuk pertimbangan dan kelulusan Menteri Besar (Amirudin)," kata beliau.