Projek tebatan hakisan Pantai Nenasi sudah dilaksanakan

Mohammad Fakhruddin
Mohammad Fakhruddin
A
A
A

PEKAN - Projek tebatan dan baik pulih hakisan Pantai Nenasi dekat sini membabitkan kos hampir RM58.5 juta sudah mula dilaksanakan sejak 28 Mac lalu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, projek terbabit bermula dari Kampung Tanjung Batu merangkumi 17 kilometer di kawasan berpasir iaitu muara Sungai Tering sehingga ke muara Sungai Bebar di Nenasi.

Menurutnya, kawasan tersebut terdedah kepada ombak besar terutamanya musim Monsun Timur Laut dan sebahagian besar pantai di sini sudah terhakis.

"Jadi, projek ini dijangka mampu menyelesaikan masalah hakisan dan ia dijangka siap dalam masa tiga tahun lagi selepas pelaksanaannya pada Mac lalu.

"Projek ini sebenarnya telah pun diluluskan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2017 namun ia terhenti selepas pertukaran kerajaan 2018. Saya selaku ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Bebar telah memohon peruntukan untuk melaksanakan projek ini dan beliau telah meluluskannya," katanya pada Khamis.

Beliau memaklumkan projek ini akan memberi manfaat kepada pihak berkepentingan terutama penduduk kampung, nelayan, pelancong, daerah Pekan dan juga kerajaan Pahang setelah siap sepenuhnya.

Tambahnya, antara skop kerja-kerja yang akan dilaksanakan adalah penyuburan pantai, pembinaan 'traning walls', bina benteng pemecah ombak, struktur perlindungan tebing sungai, pengerukan penyelenggaraan, pemasangan lampu suar (Beacon Light) dan sebagainya.

Sehubungan itu, Mohammad Fakhruddin berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang sentiasa berusaha dan berperanan bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan semula.