Didakwa menyamar jadi polis, lelaki tendang jurukamera

Tertuduh cuba menendang seorang jurukamera ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Georgetown pada Khamis.
Tertuduh cuba menendang seorang jurukamera ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Georgetown pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Berang kerana wajahnya dirakam petugas media, seorang ahli perniagaan bertindak dengan cuba menendang seorang jurukamera ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, jurukamera berkenaan sempat mengelak sepakan lelaki tersebut.

Kejadian tersebut berlaku ketika tertuduh, V Premantharan Pillai, 44, dibawa ke mahkamah kerana menghadapi empat pertuduhan menyamar sebagai anggota polis dan satu pertuduhan melibatkan kerugian RM100,000.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kelima-lima pertuduhan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berbeza.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim dan Majistret R Manomani.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahrezal Mohd Shukri dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar manakala tertuduh diwakili peguam, RSN Rayer.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa berpura-pura memegang jawatan sebagai pegawai polis kepada seorang lelaki dan dua wanita masing-masing dalam kejadian di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, pada 13 Februari 2021 dan di Sungai Ara dekat sini, pada 23 Februari 2021.

Dua daripada kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, satu lagi pertuduhan didakwa di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, tertuduh turut dituduh memperdaya salah seorang wanita sama untuk menyerahkan wang sebanyak RM100,000 dengan memberitahu kononnya untuk membebaskan suami wanita berkenaan bersabit satu kes kesalahan dadah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dua buah bank di daerah Barat Daya dan Timur Laut pada 24 dan 25 Februari tahun lalu menerusi dua akaun bank antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Dalam prosiding mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya memohon kedua-dua mahkamah supaya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana laporan kes itu telah dibuat sejak tahun lalu yang mana, tertuduh gagal dikesan sejak laporan dibuat.

Selain itu, tertuduh juga ditahan polis di luar daerah iaitu di Kuala Lumpur.

Rayer kemudiannya membantah dengan alasan kes yang dihadapi anak guamnya boleh dijamin.

Beliau juga meminta mahkamah menggunakan budi bicara memandangkan tertuduh hanya bekerja sebagai peniaga dengan pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan selain perlu menanggung seorang isteri dan tiga anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan nilai keseluruhan RM9,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga perbicaraan kes selesai.

Mahkamah turut membenarkan kesemua pertuduhan dibicarakan serentak dan menetapkan 10 Januari depan untuk sebutan semula serta serahan dokuman.

Difahamkan, tertuduh turut berdepan satu lagi tuduhan di Mahkamah Seksyen di sini.