Kuota diesel subsidi untuk bot nelayan kelas C tidak cukup

Boon Guan (empat dari kiri) bersama Chon Siang (empat dari kanan) dan Faizal (dua dari kanan) pada pertemuan berhubung isu bekalan diesel bersubsidi di Jeti LKIM, Kemunting pada Khamis.
Boon Guan (empat dari kiri) bersama Chon Siang (empat dari kanan) dan Faizal (dua dari kanan) pada pertemuan berhubung isu bekalan diesel bersubsidi di Jeti LKIM, Kemunting pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Pengusaha bot nelayan pukat tunda kelas C di sini menggesa kerajaan meneliti dan mengkaji semula kuota bekalan minyak diesel bersubsidi yang didakwa tidak mencukupi bagi kegunaan lebih 200 bot kelas itu di daerah ini setiap bulan.

Wakil pengusaha, Teoh Boon Guan, 40, berkata, kuota minyak diesel yang dibekalkan ketika ini hanya 3.1 juta liter sebulan.

Menurutnya, jumlah itu tidak mencukupi dan kehabisan menjelang 25 hari bulan setiap bulan.

"Bila minyak diesel habis, kebanyakan nelayan tidak dapat turun ke laut dan terpaksa menunggu minyak diesel untuk kuota bulan berikutnya.

"Keadaan ini berlaku sejak Julai lalu dan berlanjutan hingga kini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang di Jeti LKIM Kemunting di sini pada Khamis.

Turut hadir Pengarah LKIM Pahang, Faizal Puasa.

Boon Guan berkata, bagi menampung keperluan diesel untuk bot kelas C, kerajaan perlu menambah kuota kepada enam juta liter sebulan.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian bot nelayan kelas C menunggu giliran untuk mengisi minyak di Jeti LKIM,Kemunting selepas bekalan untuk bulan Disember telah diterima pada Khamis.
Sebahagian bot nelayan kelas C menunggu giliran untuk mengisi minyak di Jeti LKIM,Kemunting selepas bekalan untuk bulan Disember telah diterima pada Khamis.

"Langkah itu akan membantu mengatasi masalah yang berlaku ini sekali gus dapat menjamin bekalan ikan didaratkan di jeti ini.

"Sekiranya masalah ini tidak diselesaikan ia akan menjejaskan rutin nelayan dan menjejaskan bekalan ikan sekaligus berlaku kenaikan harga yang akan membebankan pengguna," katanya.

Tambahnya, ekoran masalah itu, pengusaha kehilangan satu trip ke laut dan terpaksa menanggung kerugian.

Sementara itu, Chon Siang berkata, masalah pengusaha bot berhubung bekalan minyak diesel tidak mencukupi itu akan diberi perhatian segera.

"Perkara ini akan dibawa untuk perhatian kementerian berkenaan.

"Sekarang kabinet belum dibentuk, kita lihat perkembangan sehari dua ini dan jika perlu perkara ini akan dibawa terus untuk perhatian dan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Sementara itu katanya, isu tekanan air rendah di kawasan jeti LKIM akan dirujuk kepada pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) untuk tindakan lanjut.

"Saya mendapat aduan daripada pekerja di sini berhubung masalah tekanan air ini jadi saya akan minta pihak Paip turun untuk membuat pemeriksa bagi mengenal pasti punca dan membantu menyelesaikan masalah ini," katanya.