'Penduduk tak puas hati nilai pampasan'

Antara penduduk Kampung Baru, Alor Malai yang berkumpul semalam bagi menuntut nilai pampasan dinaikkan.
Antara penduduk Kampung Baru, Alor Malai yang berkumpul semalam bagi menuntut nilai pampasan dinaikkan.
A
A
A

ALOR SETAR - Penduduk di Kampung Baru, Alor Malai di sini tidak berpuas hati dengan nilai pampasan yang dibayar kerajaan terhadap mereka bagi pengambilan tanah kampung di situ.

Wakil penduduk, Muazir Awang Hanapiah, 41, berkata, sebanyak 11 buah rumah di kampung berkenaan terlibat dalam projek pembinaan jalan lencongan timur dari persimpangan Jalan Tun Razak, Alor Setar, (Fasa 2B- Dari Jalan Datuk Kumbar ke Jalan Tun Razak / Jalan Langgar)

Katanya, penduduk tidak membantah pembangunan tersebut namun berasa kesal kerana bayaran pampasan itu tidak berbaloi bagi penduduk yang sudah lama menetap di situ.

"Bayaran yang mereka tetapkan sangat rendah dari nilai pasaran yang dinyatakan oleh juru runding tak sampai separuh pun.

"Tambahan pula, nilai hartanah sekarang tinggi. Nak harapkan duit pampasan tu mesti tak cukup untuk kami beli tanah atau bina penempatan baru nanti.

"Penduduk sini bukannya orang senang, ada warga emas yang hidup harapkan duit pencen saja," katanya, ketika ditemui di kampung terbabit, semalam.

Muazir menunjukkan memorandum yang akan dihantar kepada Mukhriz hari ini.
Muazir menunjukkan memorandum yang akan dihantar kepada Mukhriz hari ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tanah kampung berkenaan juga berstatus hak milik kekal, cuma syarat tanah sahaja berlainan, ada untuk pertanian dan juga kediaman.

"Kami rasa seperti di anak tirikan. Tanah ini hak kami yang diwarisi sejak tahun 1902 dari nenek moyang kami. Beri pampasan sewajarnya kepada kami.

"Sebelum ini kami ada usulkan masalah ini kepada adun kawasan, tapi belum ada perkembangan sehingga kini.

"Insya-ALLAH sebagai tindakan susulan kami akan menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir esok (hari ini) di pejabatnya," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Che Gayah Mustafa, 67, berkata, dia kini runsing memikirkan nasibnya selepas ini memandangkan perlu bergantung kepada bayaran pampasan berkenaan sahaja bagi memulakan kehidupan baharu.

"Bila dengar pampasan tak sampai RM100,000 makcik susah hati sangat. Duk fikir macam mana nanti, nak cari rumah apa dengan duit banyak tu.

"Makcik pula biasa duduk kawasan kampung, kalau boleh nak duduk tempat macam ni juga la nanti," keluhnya.

Bagi Mohd Nor Kassim, 69, beliau sangat berharap jumlah pampasan itu dapat dinaikkan bagi meringankan beban ditanggung warga emas sepertinya.

"Syarat tanah pakcik ni adalah untuk kediaman, juru runding nilai harga tanah RM116 sekaki, tapi pejabat tanah bayar RM45 sekaki sahaja.

"Jauh sangat beza tu. Pakcik duduk kat sini dah 40 tahun, rasa tak berbaloi. Kesian la kat kami, kami bukan orang muda lagi," katanya.

Sementara itu, Exco kerajaan tempatan, Tan Kok Yew berkata, masalah berkenaan dalam pengetahuannya dan beliau prihatin dengan masalah yang berlaku.

"Bagaimanapun, segala prosedur pengambilan tanah dilakukan dengan mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang betul.

"Malah, kajian penilaian tanah juga dilakukan dengan penuh telus melalui juru runding yang dilantik kerajaan.

"Sekiranya, penduduk masih tidak berpuas hati terutama dari segi pampasan yang diberikan, mereka boleh kemukakan bantahan menerusi borang N di pejabat tanah sebelum failkan di mahkamah," katanya.