Yusri bangga jadi sukarelawan polis

Mohd Yusri berpengalaman dalam pasukan SSPDRM selama 18 tahun.
Mohd Yusri berpengalaman dalam pasukan SSPDRM selama 18 tahun.
A
A
A

DILAHIRKAN sebagai anak seorang anggota polis membuatkan bekas pegawai Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM), Asisten Superintendan Mohd Yusri Mohd Yusof meminati kerjaya pasukan keselamatan itu sejak kecil.

Ditambah dengan semangat, ketegasan dan disiplin ditunjukkan ayahnya, Allahyarham Sarjan (B) Mohd Yusof Semin menyemarakkan lagi azam Mohd Yusri untuk berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila dewasa.

"Saya memang minat kerjaya sebagai anggota polis sejak sekolah rendah kerana penampilan seorang anggota polis yang kemas, segak dan mengutamakan disiplin ketika melaksanakan tugas," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Indah, Ampang, Selangor baru-baru ini.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, hanya beliau seorang yang menyertai badan beruniform tersebut.

"Saya difahamkan had umur untuk menyertai pasukan PDRM adalah tidak lebih daripada 28 tahun.

"Saya telah membuat keputusan untuk menyertai SSPDRM pada 2004 kerana usia saya pada ketika itu sudah 35 tahun," katanya.

Mohd Yusri, 56, berkata, beliau menyertai SSPDRM dan menjalani latihan selama enam bulan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Mohd Yusri menunjukkan Sijil Pingat Jasa Kebaktian (PJK).
Mohd Yusri menunjukkan Sijil Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Artikel Berkaitan:

"Saya telah belajar latihan asas termasuk berkawad dan kursus berkaitan undang-undang bermula pada jam 6 petang hingga 10 malam sepanjang tempoh enam bulan itu," katanya.

Bekas Ketua Sukarelawan Polis Daerah (KSPD) SSPDRM itu berkata, beliau berpangkat Konstabel sejak 2005 hingga 2010 kemudian dinaikkan pangkat Inspektor.

"Saya bersama 42 pelatih anggota SSPDRM merupakan 'intake' pertama di IPD Ampang Jaya," katanya.

Mohd Yusri berkata, SSPDRM diwujudkan sebagai pasukan di bawah kuasa polis sejak tahun 1957 yang dikenali sebagai Pasukan Khas Sukarelawan Polis.

"Kewujudan SSPDRM adalah untuk memberi peluang kepada orang awam untuk melibatkan diri mereka dalam kerjaya polis," ujarnya.

Beliau berkata, pasukan SSPDRM disertai oleh orang awam sebagai polis separuh masa untuk membantu PDRM mengekalkan keamanan dan keselamatan.

"Unit SSPDRM ini terdiri daripada golongan profesional termasuk ahli perniagaan," katanya.

Mohd Yusri yang juga pengurus sebuah syarikat pembersihan dan pencucian bangunan berkata, beliau perlu membahagikan masa tugas hakiki dengan tugas sebagai pegawai SSPDRM.

"Saya bertugas sebagai SSPDRM hanya pada waktu malam, kecuali saya dipanggil untuk membantu anggota dan pegawai PDRM pada waktu pagi," ujarnya.

Beliau berkata, anggota SSPDRM ketika melaksanakan tugas, mereka mempunyai kuasa sama seperti pegawai polis sama pangkat seperti yang termaktub dalam Akta Polis 1967.

"Anggota SSPDRM juga mempunyai kuasa termasuk untuk menggunakan senjata api dan menangkap penjenayah," katanya.

Mohd Yusri berkata, anggota SSPDRM hanya dibayar elaun dan tiada gaji bulanan.

"Anggota SSPDRM tidak melakukan penugasan di cawangan atau bahagian sulit seperti Cawangan Khas, tiada penugasan detektif serta tidak melakukan penyiasatan," ujarnya.

Mohd Yusri bantu selesaikan kes ragut

Mohd Yusri berkata, sepanjang tempoh 18 tahun beliau berkhidmat, pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah berjaya membantu menyelesaikan kes ragut susulan penemuan beberapa keping kad pengenalan serta dokumen dalam semak di Jalan Hulu Langat pada 4 Ogos 2014.

"Saya mengetahui perkara ini setelah menerima panggilan daripada orang awam pada jam 4.30 petang.

“Pengadu yang sedang menunggang basikal di kawasan itu mendakwa ternampak beberapa keping kad pengenalan dan lesen memandu di dalam semak di tepi jalan,” katanya.

Mohd Yusri berkata, beliau terus ke lokasi, selepas menerima panggilan tersebut.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, saya menemui 12 keping MyKad dan MyKid, tiga dompet, dua tas tangan, kad mesin pengeluaran tunai automatik (ATM) dan beberapa barang lain.

“Saya kemudian menghubungi IPD Ampang Jaya untuk memaklumkan perkara tersebut dan menyerahkan semua dokumen yang ditemui untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tolak rasuah

Mohd Yusri berkata, antara pengalaman lain adalah beliau menahan seorang lelaki kerana cuba merasuahnya sebanyak RM100.

"Pada awalnya, suspek ditahan kerana tidak mempunyai lesen ketika menunggang motosikal itu," katanya.

Beliau berkata, suspek tiba-tiba mengeluarkan sejumlah wang tunai bagi mengelak dirinya ditahan.

"Saya telah menolak pemberian itu dan beberapa kali memberi amaran kerana tindakan suspek salah di sisi undang- undang, namun dia tidak mengendahkannya.

"Suspek kemudian telah ditahan atas kesalahan memberi rasuah," tegasnya.

Katanya, dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab, semua pegawai dan anggota polis harus berpegang teguh kepada aspek integriti, amanah, tegas, adil dan berhemah.

"Integriti cukup penting dalam diri anggota polis, ia bagi memastikan perkhidmatan yang terbaik dapat diberikan kepada masyarakat," ujarnya.

Mohd Yusri terlibat dalam penugasan PKP

Mohd Yusri berkata, SSPDRM di IPD Ampang Jaya turut dikerah untuk membuat sekatan jalan raya (SJR) dan melaksanakan rondaan dan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh pandemik Covid 19.

Mohd Yusri (kiri) bersama anggota tentera di sekatan jalan raya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mohd Yusri (kiri) bersama anggota tentera di sekatan jalan raya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Masih jelas terbayang dalam ingatan saya, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat amat penting untuk mengehadkan pergerakan orang ramai dalam mengawal penularan Covid 19.

"Perasaan saya di barisan hadapan juga kadang-kadang berasa bimbang sebab berkemungkinan terdedah kepada jangkitan Covid 19, namun tanggungjawab dan amanah harus dipikul," katanya.

Mohd Yusri berkata, beliau menitipkan rasa bersyukur dan bangga kerana dapat berbakti kepada negara dan masyarakat.

"Perancangan selepas bersara pada 12 November lalu, saya mahu menceburi bidang politik kerana mahu berkhidmat kepada rakyat serta membantu masyarakat dengan sebaiknya," ujarnya.

Mohd Yusri (duduk dua kiri) bergambar bersama warga IPD Ampang Jaya.
Mohd Yusri (duduk dua kiri) bergambar bersama warga IPD Ampang Jaya.

Profil

Nama: Mohd Yusri Mohd Yusof

Asal: Ampang, Selangor

Tarikh Lahir: 15 Jun 1966

Status: Berkahwin dengan Azliza Ariffin dan dikurniakan empat anak

Pendidikan: Ijazah Pengurusan Awam di Universiti Utara Malaysia