Bekas anggota polis direman kes samun bersenjata

Suspek (dua dari kiri) direman bagi membantu siasatan berhubung kes samun bersenjata berkumpulan.
Suspek (dua dari kiri) direman bagi membantu siasatan berhubung kes samun bersenjata berkumpulan.
A
A
A

MELAKA - Bekas anggota polis direman selama tujuh hari bermula Rabu bagi membantu siasatan kerana disyaki terlibat dalam kes samun menggunakan senjata secara berkumpulan di Taman Bukit Cheng.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman terhadap lelaki berusia 35 tahun itu di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian jam 12.05 tengah malam pada 29 April lalu, mangsa peniaga sayur berusia 25 tahun telah didatangi dua lelaki termasuk suspek yang menunggang motosikal, ketika meletakkan kereta di hadapan rumahnya.

Menurutnya, salah seorang daripada mereka telah mengeluarkan sebilah pisau dan mengacukannya ke arah mangsa.

"Mereka mengarahkan pengadu menyerahkan wang dan barang berharga yang ada pada pengadu.

"Pengadu yang ketakutan telah menuruti arahan dan menyerahkan wang tunai sebanyak RM400 serta sebuah telefon bimbit," katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, bertindak hasil maklumat, suspek berjaya ditahan sepasukan anggota polis dari Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah pada jam 12.30 tengah hari Selasa.

"Dalam tangkapan semalam, polis merampas pelbagai barang kes termasuk satu unit bekas plastik yang mengandungi sebutir peluru.

"Suspek mengakui peluru itu miliknya dan menyimpan peluru tersebut setelah dia ditamatkan perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2016," katanya.