Cuti umum: Majikan, pekerja perlu bincang tentukan tarikh

Majikan di sektor swasta dikehendaki berbincang dengan pekerja sama ada mahu memilih Isnin ini sebagai cuti umum atau menggantikannya dengan tarikh lain. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
Majikan di sektor swasta dikehendaki berbincang dengan pekerja sama ada mahu memilih Isnin ini sebagai cuti umum atau menggantikannya dengan tarikh lain. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

PUTRAJAYA - Majikan di sektor swasta dikehendaki berbincang dengan pekerja sama ada mahu memilih Isnin ini sebagai cuti umum atau menggantikannya dengan tarikh lain, demikian menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM).

KSM dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, sekiranya tiada penggantian, pekerja yang bekerja pada tarikh tersebut layak menerima kadar gaji bagi cuti umum.

"Kementerian menggesa majikan untuk memenuhi pemberian hari cuti umum tambahan berkenaan kepada pekerja masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 28 November sebagai cuti umum sempena pembentukan Kerajaan Perpaduan Nasional dan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia.

Anwar berkata, cuti yang asalnya dicadang diberikan pada Jumaat terpaksa dianjak ke Isnin depan untuk terus memberikan ruang kepada nilai ringgit dan Bursa Malaysia yang menunjukkan perkembangan positif.

Cuti berkenaan diisytiharkan di bawah Seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) yang juga merupakan cuti umum diperuntukkan kepada pekerja di sektor swasta menurut Seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955. - Bernama

Artikel Berkaitan: