Makan ubat tahan sakit tidak haram: Mufti Pahang

Abdul Rahman
Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman menyatakan pengambilan ubat tahan sakit adalah tidak haram selagi ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada individu terbabit.

Beliau menjelaskan, ubat tahan sakit digunakan untuk tujuan perubatan selain membantu meringankan kesakitan dialami seseorang.

"Setakat ini kalau tidak sampai satu tahap boleh memudaratkan kesihatan, benda itu tak haram.

"Kita dilarang mengambil ubat yang ada najis, beracun, guna bahan haram dan memudaratkan tetapi kalau ubat tahan sakit itu tidak sampai peringkat boleh memudaratkan selain doktor pula nasihatkan boleh makan untuk bantu ringankan sakit yang ada.

"Jadi saya berpandangan kita kena terima nasihat daripada doktor dan ia tidak haram untuk makan (ubat tahan sakit)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Tular sebuah video berdurasi 1 minit 56 saat di media sosial pada Jumaat yang memaparkan seorang pendakwah bebas mendakwa bahawa makan ubat tahan sakit adalah haram dan boleh masuk neraka.

Dalam pada itu, Abdul Rahman menasihati pihak tertentu untuk tidak cuba mengelirukan kenyataan yang boleh membawa salah faham terhadap agama.

"Saya rasa mengenai soal ubat ini, individu tiada pengetahuan tentang hal perubatan tidak perlu bercakap mengenai isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kita serahkan pada orang yang lebih mengetahui (bidang perubatan). Kalau kita mengulas tentang isu itu jika tidak betul nanti orang akan pertikaikan apa yang diperkatakan," ujarnya.

Beliau juga berharap pihak terbabit untuk merujuk kepada sumber yang tepat sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan.

"Kita minta nasihat orang yang mengetahui. Kalau nak tahu tentang agama, kita cari ulama.

"Nak tanya tentang ubat cari pegawai farmasi yang lebih mengetahui. Jangan mendahului cakap daripada orang yang terlibat dalam bidang itu (perubatan)," jelas beliau.