Kerajaan perpaduan perlu sokongan parti lain

Pembentukan kerajaan perpaduan pastinya melibatkan penyertaan wakil daripada parti-parti yang memberi sokongan, dan ini menuntut kebijaksanaan Anwar dalam memilih mereka yang berwibawa bagi membantunya mentadbir negara.
Pembentukan kerajaan perpaduan pastinya melibatkan penyertaan wakil daripada parti-parti yang memberi sokongan, dan ini menuntut kebijaksanaan Anwar dalam memilih mereka yang berwibawa bagi membantunya mentadbir negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pada sidang media sulungnya selaku Perdana Menteri ke-10 selepas mengangkat sumpah pada petang Khamis, ada beberapa inti pati kritikal yang berulang kali ditegaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pencaturannya mengemudi negara di bawah konsep 'kerajaan perpaduan'.

Penjelasannya sedikit-sebanyak menjawab kekeliruan masyarakat tentang bentuk kerajaan perpaduan yang dimaksudkan oleh figura berusia 75 tahun itu, yang turut menyerlahkan komitmen untuk mengangkat martabat bahasa Melayu, mempertahan kedaulatan raja-raja Melayu serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.

"Saya masih tegas dalam usaha mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Saya tetap faham keperluan kita mengangkat kedudukan penghayatan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Saya tidak mahu ini hanya menjadi slogan enteng, tetapi harus ada usaha yang lebih berkesan untuk menjaminnya,” katanya pada sidang media yang menjadi tumpuan rakyat dan juga negara luar itu.

Biarpun begitu, selaku Perdana Menteri untuk seluruh rakyat Malaysia, beliau menegaskan tidak akan bertolak ansur dalam menjamin hak kewarganegaraan, mengiktiraf hak semua kaum, agama dan wilayah negara ini dengan memastikan tidak ada sesiapapun dipinggirkan.

Bagi beberapa pemerhati dan penganalisis politik yang dihubungi Bernama, mereka melihat penegasan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan bukan satu retorik kerana ia antara inti pati paling utama yang dijelaskan oleh Anwar.

Kestabilan, keharmonian kaum

"Apa yang disebutkannya bukanlah perancangan mewakili parti tetapi sebagai ketua kerajaan perpaduan, dan menariknya apabila beliau bertegas hak dan kepentingan orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi antara kerisauan utama (orang Melayu) sekiranya PH memerintah, akan dipertahankan,” kata penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata ia menunjukkan Anwar sedar isu itu adalah kunci kestabilan negara dan juga kerajaan yang bakal dipimpinnya, dan atas sebab itulah penegasan dibuat pada sidang media sulung sebaik selesai mengangkat sumpah jawatan pada Khamis.

"Kita tak nafikan ada suara-suara keresahan rakyat, sebahagiannya yang dimainkan parti politik tertentu tanpa mengira wacana dan perbahasan semasa kempen pilihan raya.” Itu kata Anwar pada sidang media tersebut, dan Ahmad Martadha melihat situasi perkauman di negara ini agak membimbangkan.

Ini kerana katanya isu perkauman terus menjadi modal kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) segelintir ahli politik dalam memancing undi.

Perkara itu dikukuhkan oleh kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang dipetik berkata, sejak keputusan PRU15 diumumkan, pihaknya mengesan pelbagai bentuk kandungan yang menyentuh sentimen perkauman dan agama serta menghina institusi diraja melalui media sosial.

Situasi sebegini kata Ahmad Martadha yang juga Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia, adalah amat menyedihkan memandangkan jalinan perpaduan yang terbina sejak sekian lama sepatutnya lebih kukuh.

Isu kaum antara cabaran terbesar

"Saya melihat kerajaan perpaduan yang akan dikemudikan Anwar berhadapan cabaran hebat dalam mengukuhkan lagi perpaduan negara memandangkan hasil kajian dan pemerhatian pada PRU15, didapati orang mengundi berdasarkan kaum, dan situasi ini tidak begitu ketara dalam pilihan raya sebelum ini,” katanya.

Komitmen jitu Anwar dalam memastikan kestabilan negara itu turut dicerminkan oleh kesediaan beliau menerima penyertaan semua parti dalam kerajaan perpaduannya termasuk Perikatan Nasional (PN) sekalipun Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mempertikaikan keabsahan sokongan terhadap Anwar.

Ini juga sejajar dengan cadangan kerajaan perpaduan yang dihasratkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa berkenan campur tangan bagi mengakhiri kemelut politik pasca-PRU15.

Keputusan PRU15 menyaksikan Parlimen tergantung apabila tidak ada parti memperoleh sekurang-kurangnya 112 kerusi bagi membolehkan ia membentuk kerajaan, dengan PH hanya menang 82 kerusi, PN (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (6), dan Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia serta Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia masing-masing satu.

Geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Prof Dr Azmi Hassan melihat keterbukaan Anwar mengalu-alukan penyertaan semua parti menunjukkan beliau sedar rakyat sudah muak dengan ‘drama’ politik yang tidak berkesudahan sejak empat tahun lepas.

Ia juga menunjukkan Perdana Menteri sedar akan cabaran getir yang bakal diharungi negara pada tahun depan berikutan unjuran Bank Dunia bahawa kemungkinan besar berlaku kemelesetan ekonomi global, sekali gus menagih kerjasama baik semua pihak, kata beliau.

Mereka yang berwibawa

Setakat laporan ini ditulis, terdapat tiga komponen besar yang dimaklumkan oleh Anwar menyokong pembentukan kerajaan perpaduannya, iaitu PH, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). GPS sudah memberi jawapan rasmi tentang kesediaan mereka hari ini.

Menurut Anwar, ia turut disokong oleh Warisan, Muda dan Parti Bangsa Malaysia.

Penyertaan mana-mana parti ini juga bersyarat yang mana mereka mesti bersetuju dengan asas pembentukan kerajaan perpaduan iaitu tadbir urus yang baik, tiada tolak ansur terhadap rasuah dan Malaysia untuk semua rakyat Malaysia.

Biarpun begitu, Azmi berpandangan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) perlu dimeterai oleh semua parti yang membentuk kerajaan perpaduan bagi menjamin kerjasama dan sokongan mereka terhadap dasar-dasar negara yang bakal digubal, khususnya belanjawan.

"Ideologi setiap parti politik yang ada dalam kerajaan perpaduan adalah berbeza dan CSA ini sangat perlu bagi memastikan kestabilan politik dan pentadbiran negara selepas ini supaya tidak lagi berlaku masalah seperti kerajaan campuran dahulu.

"Pentingnya juga CSA ini adalah kerana akta lompat parti (Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 ) hanya menghalang individu (wakil rakyat daripada bertukar parti) tetapi tidak (menyekat) parti untuk keluar daripada kerajaan,” katanya, menambah kandungan CSA itu juga perlu diperjelaskan kepada masyarakat.

Kelayakan atau kuota

Keperluan ini perlu diterjemahkan sebelum pelantikan barisan kabinet memandangkan pembentukan kerajaan perpaduan pastinya melibatkan penyertaan wakil daripada parti-parti yang memberi sokongan, dan ini menuntut kebijaksanaan Anwar dalam memilih mereka yang berwibawa bagi membantunya mentadbir negara.

Azmi berkata, pelantikan menteri juga antara tumpuan rakyat dan pelabur luar negara yang ingin melihat sama ada kepimpinan Anwar memperuntukkan jawatan berdasarkan kelayakan atau kuota parti.

Sekalipun Anwar wajar diberi kebebasan melantik jemaah menteri yang difikirkannya sesuai, sebaiknya beliau tidak mengulangi kesilapan pentadbiran sebelum ini apabila "terpaksa” memperuntukkan jawatan kepada parti-parti tertentu sebagai balasan sokongan dan juga kuota parti, nasihat Azmi.

"Bukan mudah sebenarnya (membentuk) kerajaan perpaduan, dan ia pernah dilaksanakan di beberapa buah negara seperti United Kingdom pada 1931 disebabkan ekonomi meleset ketika itu. Sama juga di Israel, turut ditubuhkan kerajaan perpaduan pada 1980-an dan di Itali dua tahun lepas yang diketuai Perdana Menteri, Mario Draghi yang ketika itu pandemik Covid-19.

"Beberapa negara ini mewujudkan kerajaan perpaduan apabila parti yang ada tidak dapat menubuhkan, kerajaan, namun semuanya tidak bertahan lama. Biarpun begitu, kita kena positif dengan pembentukan kerajaan perpaduan yang diketuai Anwar, dan kerana itu saya melihat kepentingan CSA dan juga barisan kabinet yang akan dilantik nanti,” katanya. - Bernama