Antirasuah: MBSJ agensi pertama Selangor terima ABMS

Johary (tiga dari kanan) pada Majlis Pelancaran OACP MBSJ di Sunway Resort, Bandar Sunway pada Khamis.
Johary (tiga dari kanan) pada Majlis Pelancaran OACP MBSJ di Sunway Resort, Bandar Sunway pada Khamis.
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menjadi agensi pertama di negeri Selangor memperoleh Pensijilan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) selepas menyertai projek perintis pensijilan itu pada tahun 2017.

Datuk Bandar MBSJ, Johary Anuar berkata, pensijilan ABMS adalah diwajibkan di setiap agensi kerajaan.

Menurutnya, selain pensijilan ABMS, MBSJ juga turut membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) iaitu sebuah pelan strategik penting dalam melaksanakan dasar antirasuah di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

"Syabas dan tahniah kepada MBSJ kerana telah memiliki kedua-duanya iaitu OACP dan mendapat pengiktirafan ABMS," katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran OACP MBSJ di Sunway Resort, Bandar Sunway pada Khamis.

Johary berkata, penjawat awam adalah golongan berisiko tinggi terhadap isu rasuah khususnya bagi mereka yang terlibat dalam pelaksanaan keputusan, perolehan kerajaan dan aktiviti pelesenan serta penguatkuasaan.

"Kerap kali cerita atau isu rasuah penjawat awam sering dipaparkan di dada akhbar atau menjadi berita utama media arus perdana yang mana ia merancakkan lagi persepsi negatif masyarakat kepada penjawat awam," jelas beliau.

Menurut beliau, perbuatan rasuah merupakan isu kritikal yang perlu ditangani secara menyeluruh kerana ia boleh menyebabkan berlaku peningkatan pada jumlah kos modal dan pembangunan bagi apa jua program atau projek dilaksanakan.

Jelas Johary, keadaan itu sudah tentu memberikan kerugian besar kepada organisasi dan negara.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, perbuatan rasuah bukanlah semata-mata kesalahan undang-undang tetapi juga adalah kesalahan sosial dan peradaban yang boleh menjejaskan imej organisasi, negeri dan negara di mata dunia.

"Saya sangat mengalu-alukan pelancaran OACP ini kerana kita mengharapkan dengan pelaksanaan pelan ini, Imej dan kualiti perkhidmatan awam dapat ditingkatkan ke arah memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan rakyat.

"Selain itu, ia seterusnya mencapai matlamat menjadikan penjawat awam lebih efisien dan responsif dalam memberikan perkhidmatan kelas pertama," ujar beliau.

Kata beliau, pelaksanaan pelan itu diharap dapat merubah persepsi negatif masyarakat terhadap penjawat awam di samping melalui pembangunan pelan itu juga dapat membantu menangani isu tadbir urus, integriti dan rasuah secara menyeluruh.

"Selaras dengan inisiatif dilaksanakan itu, OACP MBSJ ini juga mencerminkan komitmen pengurusan tertinggi, ahli majlis dan warga kerja MBSJ dalam menentang isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan serta dapat menyepadukan usaha pencegahan rasuah dan penjajaran strategi dalam satu pelan yang khusus," ujarnya.