MBPJ terima pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah

Mohamad Azhan (tiga dari kiri) menerima pensijilan ABMS yang dianugerahkan kepada MBPJ daripada Mohd Hamim (dua dari kiri) di Dewan Sivik MBPJ pada Khamis.
Mohamad Azhan (tiga dari kiri) menerima pensijilan ABMS yang dianugerahkan kepada MBPJ daripada Mohd Hamim (dua dari kiri) di Dewan Sivik MBPJ pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya memperoleh pensijilan antarabangsa ISO 37001:2016 bagi sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) setelah melalui beberapa fasa pengauditan SIRIM QAS International Sdn Bhd pada Mac lalu.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir berkata, MBPJ merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sangat komited ke arah ABMS.

Menurutnya, penyediaan dokumentasi ABMS MBPJ telah bermula dari September 2022 dengan mengenal pasti risiko rasuah dan salah guna kuasa berdasarkan proses kerja di setiap jabatan dan unit.

"Proses dokumentasi yang berterusan dan komitmen yang padu dari semua jabatan unit telah membuahkan hasil apabila dengan masa singkat sahaja MBPJ berjaya merumuskan risiko rasuah di MBPJ berjumlah 107 risiko daripada 60 proses utama dan sokongan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Penutup Program Kesedaran Keselamatan ICT 2023 dan Majlis Penyampaian Sijil ISO 37001:2016 ABMS di Dewan Sivik MBPJ pada Khamis.

Sijil ABMS berkenaan disampaikan oleh Pengurus Besar Kanan SIRIM QAS International Sdn Bhd, Mohd Hamim Imam Mustain.

Hadir sama, Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Sharipah Marhaini Syed Ali; Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Aznan Hassan; Timbalan Setiausaha (Pembangunan), Ir Ismail Shafie; Pengarah Teknologi Maklumat, Samsul Bahari Nonchi dan Penolong Pengarah Kanan Unit Integriti, Nor ‘Ain Adam.

Mohamad Azhan (tujuh dari kiri) bersama pemenang Pertandingan 10,000 Langkah PJ-ICT Hunt 2023 yang dianjurkan sempena Program Kesedaran Keselamatan ICT 2023.
Mohamad Azhan (tujuh dari kiri) bersama pemenang Pertandingan 10,000 Langkah PJ-ICT Hunt 2023 yang dianjurkan sempena Program Kesedaran Keselamatan ICT 2023.

Mohamad Azhan berkata, kini cabaran buat MBPJ adalah bagi memastikan kepatuhan terhadap segala kiteria kawalan anti rasuah sepenuhnya agar pensijilan ABMS dapat dikekalkan dan diperbaharui setiap tahun oleh SIRIM untuk mempertingkatkan imej PBT itu ke arah yang lebih baik.

Sementara itu, mengulas mengenai Program Kesedaran Keselamatan ICT 2023 yang bertemakan 'Keselamatan Digital Teras Kepercayaan' beliau berkata, MBPJ sedang menuju ke fasa menavigasikan era pendigitalan sejajar dengan matlamat PJSSR 2030 yang merupakan nadi utama panduan pembangunan bandar raya Petaling Jaya pada masa hadapan.

Katanya, Program Kesedaran Keselamatan ICT perlu dilaksanakan bagi mematuhi pematuhan ISO/IEC 27001:2013 ISMS di mana salah satu objektif dari lima metrik pengukuran keberkesanan yang dibangunkan perlu selaras dengan objektif keselamatan maklumat MBPJ iaitu memastikan program kesedaran keselamatan ICT dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali setahun.

"Taklimat kesalahan rasuah dan salah laku di bawah Akta SPRM 2009 kepada kontraktor atau vendor, pegawai dan kakitangan MBPJ yang diadakan bersama Bengkel Keselamatan ICT merupakan sebahagian keperluan ISO 37001:2016 ABMS dalam membendung gejala rasuah di MBPJ," katanya.