Sarawak harap tidak ketinggalan di bawah Kerajaan Perpaduan

Abdul Karim Rahman
Abdul Karim Rahman
A
A
A


KUCHING - Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berharap agar Sarawak turut diberi keutamaan membabitkan jawatan dalam kementerian penting di bawah Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, banyak sumber dari Sarawak digunakan untuk membina Malaysia melalui Petronas.

Justeru beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik anggota kabinet yang akan membentuk kerajaan nanti.

"Pihak yang memegang kerajaan harus meneliti perkara tersebut. Perkara yang hendak kita lihat juga adalah kedudukan Sarawak terjaga, baik dalam kementerian mahupun jawatan-jawatan yang akan diberi.

"Ia susulan kita (Sarawak) memainkan peranan besar dalam pembangunan Malaysia apatah lagi apabila banyak sumber diambil daripada kita,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur II pada Khamis.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata, pembentukan Kerajaaan Perpaduan dengan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 membuktikan kredibiliti dan sikap rasional pemimpin-pemimpin parti politik di Malaysia.

Kerajaan Perpaduan katanya, dilihat sebagai pembangunan yang baik dengan mengenepikan sifat hasad dengki dan bersatu demi kepentingan rakyat.

"Penamat kepada kebuntuan selama beberapa hari selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu membuka lembaran baharu kepada pentadbiran dan ekonomi yang lebih positif untuk terus bergerak kehadapan.
Artikel Berkaitan:


“Kita tidak boleh terus begini dengan ketidakpastian, ia tidak baik untuk ekonomi, pasaran saham dan nilai ringgit kita yang turut melibatkan pelabur-pelabur asing.

“Saya yakin inilah yang rakyat Malaysia mahu lihat tidak kira mereka dari Semenanjung atau Sarawak. Kita telah berjaya mengenepikan hasad dengki dari satu sama lain dan melihat diri kita sebagai rakyat Malaysia yang mahu membina negara megah tanpa isu-isu politik,” ujarnya.