Tiga beradik terima PhD serentak

Faridah (tengah), Jamilia (kanan) dan Aisyah berjaya bergelar graduan PhD dalam Majlis Konvokesyen UTM Ke-66 di Skudai, Johor Bahru, pada Khamis.
Faridah (tengah), Jamilia (kanan) dan Aisyah berjaya bergelar graduan PhD dalam Majlis Konvokesyen UTM Ke-66 di Skudai, Johor Bahru, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga beradik yang merupakan anak kepada pasangan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menempa sejarah apabila mendapat ijazah doktor falsafah (PhD) serentak di universiti itu pada Khamis.

Faridah Mohd Marsin, 39, bersama-sama dua adiknya, Jamilia, 36, dan Aishah, 32, berkongsi momen indah tersebut dalam Majlis Konvokesyen UTM ke-66 di Skudai di sini.

Faridah yang merupakan anak sulung daripada enam beradik merupakan graduan PhD Kimia Analisis manakala Jamilia yang merupakan anak ketiga graduan PhD Seni Bina dan Aishah yang merupakan anak kelima merupakan graduan PhD Kejuruteraan Bioproses.

Menurut Faridah, kejayaan mereka itu merupakan hadiah bermakna untuk ibu bapa mereka iaitu bekas pensyarah Sains Kimia, Dr Mohd Marsin Sanagi dan Pensyarah Sains Fizik, Dr Noriah Bidin.

"Kejayaan memperoleh PhD hari ini selepas didorong ibu bapa kami. Saya rasa sangat gembira, kerana kami telah lama merancang untuk menamatkan pengajian PhD bersama-sama walaupun masing-masing mendaftar pada tahun berbeza.

"Dengan sokongan ibu bapa, selain kami bertiga turut memberi motivasi dan kata-kata semangat kepada satu sama lain, akhirnya kami sama-sama berjaya selesaikan tugasan Viva dan alhamdulillah, kami berjaya," katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen itu.

Faridah (tengah), Jamilia (kanan) dan Aisyah bersama keluarga masing-masing.
Faridah (tengah), Jamilia (kanan) dan Aisyah bersama keluarga masing-masing.

Sementara itu, Jamilia berkata, sejak kecil mereka sentiasa menyokong satu sama lain, khususnya dalam pendidikan dan urusan keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai adi- beradik, berbalah itu perkara biasa khususnya apabila terdapat perbezaan pendapat, tetapi pada akhirnya kita tetap menyokong antara satu sama lain dalam memastikan cita-cita bersama tercapai," katanya.

Aisyah pula berkata, antara cabaran dihadapi mereka adalah mengimbangkan masa sebagai isteri, ibu, pelajar dan juga kakitangan kerajaan.

"Kami semua sudah berkeluarga dengan masing-masing mempunyai anak tiga, empat dan lima orang. Jadi, itu cabaran utama kami apabila perlu mengimbangkan antara belajar, keluarga dan kerjaya.

"Untuk itu kami perlu kuat semangat kerana kadangkala memang ada sampai tahap penat dan banyak pengorbanan perlu dibuat, namun alhamdulillah akhirnya semua telah terbalas," ujarnya.

Tiga beradik itu merupakan antara 539 graduan yang menerima PhD dan Ijazah Sarjana mereka pada sesi majlis konvokesyen itu, pada Khamis.