Peguam pemerhati dilantik TMJ akan terus bantu kes Bella

Empat peguam pemerhati yang dilantik Tunku Ismail untuk kes mengabai dan menganiaya Bella.
Empat peguam pemerhati yang dilantik Tunku Ismail untuk kes mengabai dan menganiaya Bella.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kumpulan peguam pemerhati yang dilantik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk kes mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, sedia untuk terus membantu pihak mahkamah pada prosiding pihak pembelaan yang dijadualkan bermula 5 Disember depan.

Empat peguam berkenaan iaitu Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, ini susulan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali membela diri atas dua pertuduhan tersebut.

"Kami menzahirkan penghargaan atas kerjasama semua pihak terutamanya pihak mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya dan Peguambela dalam memastikan kelancaran perbicaraan kes adik Bella sehingga akhir kes pendakwaan ini.

"Keutamaan perlu diberikan untuk kes ini memandangkan mangsa, yakni adik Bella tentunya telah mengalami trauma dari segi fizikal dan emosi lanjutan kecederaan yang dialami. Kami mahu adik Bella ini meneruskan kehidupan dengan episod baru secepat yang mungkin.

"Sesungguhnya keadilan bagi kes ini perlu diperoleh segera supaya ibu bapa atau penjaga khususnya terhadap anak-anak kurang upaya memandang serius terhadap aspek-aspek kebajikan anak-anak dalam peliharaan mereka," kata mereka dalam kenyataan pada Khamis.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.

Hakim Izralizam Sanusi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Siti Bainun, 30, di akhir kes pendakwaan.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan: