Siti Bainun diperintah membela diri abai, aniaya Bella

Siti Bainun Ahd Razali diperintah untuk membela diri oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis.
Siti Bainun Ahd Razali diperintah untuk membela diri oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali diperintah untuk membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun, dikenali Bella tahun lalu.

Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Siti Bainun, 30, di akhir kes pendakwaan.

Ketika membaca keputusan ringkasnya, Izralizam berkata, pendakwaan berjaya membuktikan empat elemen dalam kedua-dua kes ini.

Menurutnya, elemen pertama ialah Bella merupakan seorang kanak-kanak bawah 18 tahun dan kedua, tertuduh mempunyai pemeliharan terhadap mangsa.

Bagi elemen ketiga katanya, mangsa telah mengalami kecederaan fizikal dan emosi semasa dalam pemeliharaan tertuduh.

“Paling penting ialah elemen keempat iaitu tertuduh telah mengabaikan dan menganiaya mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

“Oleh itu, saya mendapati pendakwaan berjaya memenuhi kesemua elemen berkenaan dan membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh,” katanya.

Selepas memutuskan demikian, Izralizam memberitahu, Siti Bainun diberi tiga pilihan iaitu pertama memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Artikel Berkaitan:

Sementara pilihan kedua, tertuduh boleh memberikan kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan atau ketiga berdiam diri dengan tidak menjawab pertuduhan.

Selepas mendengar perkara itu, peguam yang mewakili tertuduh berkata, anak guamnya mengambil pilihan pertama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias.

Siti Bainun pula diwakili peguam Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf, Nurul Hafidzah Hassan, Asiah Abd Jalil dan Nur Ellena Mohamed Razif.

Turut hadir Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman yang dilantik oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku peguam pemerhati.

Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan kes bela diri itu ditetapkan pada 5 hingga 9 Disember depan.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya kanak-kanak sama.

Pada 28 Oktober lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac lepas.

Selain Bella, saksi lain termasuk bekas penghuni Rumah Bonda iaitu Yasmin Nahar Mahmood; pakar psikiatri, Dr Wan Asyikin Wan Azlan; pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik, Dr Salmi Mohamed Shukur.

Sebelum ini, seramai 22 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan yang mana pihak pendakwaan menutup kesnya selepas saksi ke-22 iaitu juruteknik sebuah syarikat penapis air Mohamed Rezuan Satori, 25, selesai memberi keterangan.