Kurangkan risiko banjir di Sungai Bakap

 Zairil Khir Johari
Zairil Khir Johari
A
A
A

NIBONG TEBAL- Beberapa langkah telah diambil oleh kerajaan negeri bagi meminimumkan kebarangkalian berlakunya banjir di kawasan Kampung Titi Hitam, Sungai Bakap.

Ia termasuk kerja-kerja pengorekan di dua cabang Sungai Jawi yang dilakukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebelum ini.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari berkata, kerja-kerja pengorekan berkenaan dilakukan menggunakan peruntukan Persekutuan dan negeri berjumlah RM649,000.

Menurutnya, JPS juga telah menaik taraf pintu air bagi tindakan penyelesaian meminimumkan isu banjir kilat terutama di kawasan Kampung Titi Hitam.

"Kerja yang telah dilaksanakan adalah di pintu nombor satu iaitu menggunakan peruntukan Persekutuan berjumlah RM70,000.

"Untuk tahun ini, JPS telah diluluskan peruntukan sebanyak RM192,500 bagi mendalamkan Parit Sisir Sungai Bakap dan menaik taraf pintu air nombor dua," katanya ketika dihubungi di sini.

Laporan Sinar Harian sebelum ini mengenai masalah banjir kilat di kawasan Kampung Titi Hitam.
Laporan Sinar Harian sebelum ini mengenai masalah banjir kilat di kawasan Kampung Titi Hitam.

Zairil berkata, kedua-dua kerja dalam pelaksanaan dan dijangka siap pada bulan Julai 2019.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Zairil berkata, sepanjang tahun ini sehingga tarikh 11 April, tiada laporan banjir dilaporkan di kawasan Kampung Titi Hitam di Daerah Seberang Perai Selatan.

Beliau berkata, bagi tindakan jangka masa panjang, peruntukan sebanyak RM4 juta diluluskan kepada JPS melalui peruntukan Persekutuan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi kerja-kerja menaik taraf saliran Bukit Tambun yang kini di peringkat kajian perunding yang dipantau dan diselia oleh Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian (BPSP).

Sebelum ini, Sahabat Alam Malaysia mendedahkan masalah banjir kilat di beberapa kawasan sekitar Seberang Perai yang mungkin tidak berkesudahan sekiranya sistem perparitan di kawasan ini tidak dinaik taraf menjadi lebih sistematik.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, pihak berkuasa tempatan seharusnya mencari punca yang membawa kepada masalah limpahan air sehingga berlaku banjir kilat apabila hujan lebat berterusan berlaku.

Mengambil contoh apa yang berlaku di Kampung Titi Hitam di Sungai Bakap, SM Mohamed berkata, beberapa penduduk mendakwa masalah banjir kilat ini berlaku disebabkan sistem saliran yang kurang baik malah apabila diteliti mendapati ia berpunca dari sistem saliran yang tersumbat dan tersekat oleh benda-benda asing sehingga menyebabkan terjadinya limpahan air.