Klinik Bergerak Waqaf An-Nur ZPP kembali beroperasi

Roslan (dua dari kiri) memotong reben sebagai simbolik pelancaran Klinik Bergerak Waqaf An-Nur Zakat Pulau Pinang (ZPP)
Roslan (dua dari kiri) memotong reben sebagai simbolik pelancaran Klinik Bergerak Waqaf An-Nur Zakat Pulau Pinang (ZPP)
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Perkhidmatan Klinik Bergerak Waqaf An-Nur Zakat Pulau Pinang (ZPP) yang terhenti sejak dua tahun lalu akan kembali beroperasi di 15 kawasan tumpuan di seluruh Pulau Pinang tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali berkata, pelaksanaan semula perkhidmatan klinik bergerak itu direalisasikan melalui kerjasama strategik antara pihaknya dengan KPJ Healthcare Berhad serta Waqaf An-Nur.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan inisiatif sistem penyampaian agihan zakat serta perkhidmatan sokongan terhadap golongan asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan dalam perkhidmatan kesihatan di Pulau Pinang terus dibela.

"Melalui kerjasama pintar ini ZPP akan menyumbang dana termasuk menyediakan kemudahan seperti kenderaan iaitu sebuah lori yang telah lengkap diubahsuai dengan reka bentuk mengikut keperluan perawatan yang mana ia melibatkan kos mencecah RM400,000.

"KPJ Penang Specialist Hospital sebagai pelaksana pula bertanggungjawab menyediakan tenaga pakar yang terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat dan pembantu perawatan, serta ubat-ubatan yang diperlukan mengikut keperluan semasa dan Waqaf An-Nur pula bertindak sebagai Pemantau Klinik Bergerak," katanya.

Roslan (dua dari kiri) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama (MOA) antara ZPP, KPJ Healthcare Berhad dan Waqaf An-Nur Corporation Berhad yang diadakan pada Khamis.
Roslan (dua dari kiri) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama (MOA) antara ZPP, KPJ Healthcare Berhad dan Waqaf An-Nur Corporation Berhad yang diadakan pada Khamis.

Beliau berkata demikan ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama (MOA) antara ZPP, KPJ Healthcare Berhad dan Waqaf An-Nur Corporation Berhad serta Pelancaran Klinik Bergerak Waqaf An-Nur Zakat Pulau Pinang pada Khamis.

Hadir menyaksikan majlis menandatangani MOA serta melancarkan klinik bergerak terbabit, Timbalan Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr Roslan Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Roslan (dua dari kiri) menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian Klinik Bergerak Waqaf An-Nur Zakat Pulau Pinang (ZPP)
Roslan (dua dari kiri) menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian Klinik Bergerak Waqaf An-Nur Zakat Pulau Pinang (ZPP)

Dalam pada itu, Amran berkata, ZPP berusaha memastikan inklusiviti dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan asnaf dan golongan tidak berkemampuan mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada dana agihan zakat.

Katanya, sehingga kini ZPP telah menyediakan lapan Pusat Hemodialisis Zakat yang telah memberikan rawatan kepada 200 orang pesakit buah pinggang kronik secara percuma khususnya kepada asnaf fakir dan miskin serta juga menyediakan bantuan alatan suntikan Erythropoietin (EPO) kepada pesakit yang mendapat rawatan di luar Pusat Hemodialisis Zakat.

Selain itu, jelasnya ZPP juga menawarkan Skim Agihan Perubatan Asnaf yang mana skim berkenaan terdiri daripada Skim Perubatan Bulanan yang memperuntukkan sebanyak RM300 hingga RM2,000 setiap permohonan yang memerlukan perkhidmatan kesihatan, rawatan dan ubat-ubatan secara konsisten.

"Sebanyak enam buah farmasi dipilih sebagai panel untuk penerima skim ini mendapatkan bekalan ubat-ubatan yang diperlukan.

"Selain itu, Skim Perubatan Sekaligus juga disediakan dengan peruntukan sebanyak RM600 hingga RM10,000 setiap permohonan bagi mendapatkan rawatan dan kelengkapan kesihatan yang bersifat segera," jelas beliau.