Lelaki Myanmar diupah seludup migran

Antara migran warga Myanmar yang cuba dibawa masuk ke ibu negara oleh suspek.
Antara migran warga Myanmar yang cuba dibawa masuk ke ibu negara oleh suspek.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan kegiatan penyeludupan migran susulan tertangkapnya dua lelaki warga Myanmar yang dipercayai diupah sebagai pemandu.

Bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berjaya menahan dua buah kenderaan yang dipandu suspek di tempat letak kereta, Jalan Persiaran Tuanku Sirajuddin, di sini, semalam.

Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Rohazah Alwi berkata, Ops Pintas kira-kira jam 6.30 petang itu dilaksanakan tiga pegawai bersama 11 anggota.

Antara migran warga Myanmar yang cuba dibawa masuk ke ibu negara oleh suspek.
Antara migran warga Myanmar yang cuba dibawa masuk ke ibu negara oleh suspek.

"Dua lelaki warga Myanmar masing-masing merupakan pemandu Proton Persona dan Perodua Myvi berjaya ditahan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lapan migran lelaki warga Myanmar berusia 17 hingga 50 tahun ini di dua buah kenderaan terbabit yang disyaki dalam perjalanan ke ibu negara," katanya kepada Sinar Harian.

Rohazah berkata, pihaknya kemudian merampas beberapa barang dipercayai berkaitan kegiatan tersebut seperti telefon bimbit, wang tunai serta salinan kad UNHCR.

Artikel Berkaitan:

Kenderaan yang digunakan suspek untuk membawa migran ke ibu negara.
Kenderaan yang digunakan suspek untuk membawa migran ke ibu negara.

Tambahnya, soal siasat mendapati pemandu terbabit menerima upah sekurang-kurangnya RM50 untuk setiap migran yang dihantar.

"Suspek mengaku menerima panggilan daripada orang tengah untuk membawa migran berkenaan. Malah siasatan juga mendapati dua buah kereta itu adalah kenderaa sewa.

"Dipercayai kedua-dua suspek ini adalah daripada sindiket yang sama dan baru aktif sejak beberapa bulan lalu," katanya.

Tegasnya, siasatan masih dijalankan bagi memburu dalang utama. Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.