GPS belum ada keputusan sertai mana-mana parti

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

KUCHING - Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih memantau situasi di Kuala Lumpur (KL) sebelum menetapkan hala tuju di peringkat kerajaan Persekutuan.

Pengerusi GPS merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya cuma menunggu maklumat mengenai perkembangan semasa sekali gus penentuan Perdana Menteri baharu pada masa ini.

“Tunggu dulu, kita tiada maklumat lanjut.

"Sudah tentu kita berbincang dan memantau situasi di KL," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan Ahli Parlimen GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini pada Selasa.

Berhubung pertemuan dengan Ahli Parlimen GPS, Abang Johari enggan mendedahkan initi pati perjumpaan tersebut.

"Saya hanya berjumpa dengan ahli Parlimen buat pertama kali selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya.

Terdahulu, beliau turut mendedahkan GPS belum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana pakatan bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Kita tunggu, saya belum tahu keputusan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Sementara itu, Pejabat Premier Sarawak menerusi satu kenyataan memberitahu, GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri kelak.

Menurut kenyataan itu, GPS telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan daripada gabungan terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Cadangan itu mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, jelas kenyataan itu.

"Memandangkan kepada kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendaklah dihormati.

"GPS menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi," kata kenyataan itu.