UMNO sudah hilang hala tuju - Berjasa

Zamani Ibrahim
Zamani Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menyifatkan UMNO sudah hilang hala tuju dalam perjuangannya.

Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, ini setelah UMNO membuka pintu kepada DAP untuk masuk ke ‘rumahnya’ di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Menurutnya, UMNO juga kini hilang taringnya sebagai parti Melayu hanya semata-mata demi mempertahan individu korup dalam kepimpinan parti berkenaan.

“Bagi saya, UMNO jangan bercakap tentang perjuangan Melayu dan kamu sendiri tidak mampu menghalang DAP bercakap di pentas utama dalam rumah tangga sendiri.

“Saya bimbang UMNO akan menggali kubur di rumahnya sendiri sebab dia membenarkan DAP bercakap, membawa agenda di dalam rumah tangganya,” katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kehadiran pemimpin dan ahli DAP di Dewan Merdeka WTC buat pertama kalinya sempena penganjuran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di ibu negara baru-baru ini.

Dalam pada itu, Zamani turut mengucapkan tahniah kepada DAP kerana mencipta sejarah apabila berpeluang masuk ke Dewan Merdeka yang dianggap UMNO sebagai lokasi 'keramat' buat orang Melayu.