Agong titah 30 Ahli Parlimen BN menghadap esok

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan 30 ahli Dewan Rakyat daripada Barisan Nasional (BN) menghadap secara individu pada jam 10.30 di Istana Negara pagi Rabu.

Menurut Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, pertemuan itu adalah lanjutan daripada sesi menghadap ketua gabungan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 4.30 petang Selasa

"Proses ini adalah bertujuan supaya Seri Paduka Baginda dapat membuat keputusan untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat, yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.

"Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat untuk bersama-sama mendoakan semoga proses tersebut dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan tanah air yang tercinta.

Artikel Berkaitan:


"Baginda juga mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah," ujarnya.

Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong menitahkan Anwar dan Muhyiddin menghadap baginda di Istana Negara susulan tiada Ahli Dewan Rakyat yang didapati mendapat majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Muhyiddin dilihat keluar lebih awal dari Istana Negara sekitar jam 5.15 petang tadi, namun tidak berhenti untuk mengadakan sidang media bersama wartawan yang menunggu sejak pagi tadi.

Proses ini adalah bertujuan supaya Seri Paduka Baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan.