[VIDEO] Cikgu memandu didakwa terima rasuah

Tertuduh (kiri), diiringi polis di Mahkamah Sesyen, pada Selasa.
Tertuduh (kiri), diiringi polis di Mahkamah Sesyen, pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pengajar di sebuah institut memandu di sini, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan rasuah terhadapnya di Mahkamah Sesyen pada Selasa.

Tertuduh, Abu Zaharin Osman, 53 tahun, membuat pengakuan berkenan di hadapan hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail setelah pertuduhan dibacakan kepadanya.

Bagi pertuduhan utama, Abu Zaharin didakwa menerima wang suapan bernilai RM400 daripada Nur Izzati Rosli, 29, bagi membantu meluluskan ujian memandu wanita berkenaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Oleh itu, Abu Zaharin didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Abu Zaharin juga bakal berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai jumlah atau nilai suapan atau RM100,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pilihan pula, Abu Zaharin telah gagal melaporkan pemberian penyogokan berkenaan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Abu Zaharin didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) Akta yang sama.

Abu Zaharin juga berdepan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih 10 tahun atau kedua-dua sekali.

Artikel Berkaitan:

Pihak pendakwaan kemudiannya memohon agar tertuduh tidak dibenarkan untuk diikat jamin.

Bagaimanapun, menurut pihak pendakwaan, sekiranya dibenarkan (ikat jamin), tertuduh perlu diberikan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan dan passport antarabangsa milik tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes berkenaan selesai.

Bagaimanapun, pihak peguambela memohon jumlah ikat jamin berkenaan dikurangkan kepada RM3,000 dengan seorang penjamin kerana bapa kepada kepada dua anak itu hanya memiliki pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan sebagai pengajar di institut memandu berkenaan bagi menyara keluarganya.

Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail kemudiannya membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan passport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Ahmad Kamal kemudiannya turut mengumumkan tarikh sebutan kes pada 12 Disember kelak.