Muhyiddin ulangi pendirian miliki cukup sokongan

Muhyiddin (dua dari kanan) ketika menghadiri mesyuarat Bersatu di salah sebuah hotel di sini pada Ahad.
Muhyiddin (dua dari kanan) ketika menghadiri mesyuarat Bersatu di salah sebuah hotel di sini pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendirian beliau memiliki bilangan sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu, sekali gus membolehkannya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Isnin.

Jelasnya, sokongan itu bukan sahaja membabitkan ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Bebas tetapi juga ahli Parlimen lain secara individu.

Menurut Muhyiddin, beliau akan mengemukakan akuan bersumpah (SD) daripada ahli Parlimen esok, bagi membuktikan bahawa gabungan itu mempunyai jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

"Insya-ALLAH esok (kita) akan dapat kemukakan akuan bersumpah bahawa kita ada sejumlah ahli Parlimen (menyokong untuk membentuk kerajaan)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebaik selesai mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN tidak pernah berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan penubuhan kerajaan bersama PN, tidak menghalang PN untuk membentuk kerajaan melalui sokongan daripada ahli Parlimen.

Beliau menjelaskan, Akta Anti Lompat Parti tidak menghalang mana-mana parti walaupun bukan daripada PN sendiri untuk menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, ahli Parlimen yang memberikan sokongan kepadanya secara individu tidak melanggar akta tersebut.

Ini kerana katanya, undang-undang itu hanya terpakai kepada ahli Parlimen yang bertukar atau lompat parti, bukan menyatakan sokongan.

"Memang tidak melanggar peruntukan akta itu (kerana) mereka tak keluar daripada parti tetapi mereka secara individu (iaitu) ahli Parlimen datang secara bebas memberikan sokongan kepada saya.

"Jadi, ia tidak melanggar Akta Lompat Parti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Ahmad Zahid menafikan partinya pernah berunding dengan GPS untuk memberikan persetujuan penubuhan kerajaan bersama PN.

Presiden UMNO itu turut menegaskan, tiada sebarang rundingan dengan PN setakat ini yang boleh membawa maksud adanya persefahaman penubuhan kerajaan bersama gabungan tersebut.

Sehubungan itu kata Ahmad Zahid, mana-mana ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen, selaras dengan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.