Keindahan Sungai Viral tarik pengunjung

Pelantar buluh untuk pengunjung. (Gambar kecil: Papan tanda Sungai Viral.)
A
A

SIK - [DIKEMASKINI] Sebatang sungai memisahkan Kampung Betong dan Kampung Padang Cicak yang tular semakin menjadi tumpuan ramai termasuk luar daerah ini.

Keindahan kawasan itu ternyata memukau pengunjung yang datang.

Penyelaras Sungai Viral, Zamzuri Zakaria berkata, kawasan perkelahan itu sebelumnya hutan tetapi dibersihkan penduduk melalui gotong-royong sebulan lalu.

"Kami mengambil masa hampir seminggu untuk bersihkan kawasan ini antaranya dengan membina jalan, menebas semak samun dan lain-lain.

"Kemudian kami bina khemah. Sejak itu, orang semakin ramai dan jadi tular," katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Katanya, penduduk mengambil alternatif menyediakan bilik salin pakaian, tempat solat, pelantar buluh dan kawasan parkir percuma.

Zamzuri berkata, setiap hari ratusan pengunjung berkelah di kawasan itu terutamanya pada waktu petang.

"Setiap hari ada tiga sesi, sesi pertama orang mula datang seawal jam 9 pagi hingga pukul 11 pagi dan begitulah seterusnya hingga ke petang.

Pengunjung mandi manda di Sungai Viral.
Pengunjung mandi manda di Sungai Viral.

"Bagi satu sesi, terdapat lebih kurang 300 hingga 400 orang yang datang. Tetapi jika cuti sekolah, lebih ramai ke sini sampai penuh sungai," katanya.

Katanya lagi, 15 buah gerai dibuka penduduk yang menjual aneka makanan.

Menurutnya, demi keselesaan dan keselamatan pengunjung, penduduk juga menyediakan kawasan mandi bagi kanak-kanak dan dewasa.

Berkongsi kisah bagaimana kawasan itu dibuka, Zamzuri berkata, segalanya bermula ketika mantan Pegawai Agama Jabatan Agama Islam daerah Sik (Syeikh Hj Alwi Hj Othman) bersama para pegawai masjid daerah Sik berkelah di kawasan itu.

"Mereka berkelah di kawasan batu, waktu itu kawasan ini masih hutan. Saya juga bersama dalam perkelahan itu.

"Walaupun pernah datang ke sini, tetapi ketika berkelah waktu itu kami sedari kawasan ini sangat berpontensi dibuka. Sejak itu penduduk bergotong-royong bersihkan kawasan ini," katanya.

Tambahnya, air sungai di situ mengalir dari Empangan Pedu, Gubir dan Tasik Beris.

"Ia sebenarnya Sungai Muda tetapi di kawasan ini kami berikan namanya Sungai Viral," katanya

Jana pendapatan penduduk

Sungai Viral juga ibarat pembuka rezeki kepada para penduduk di kawasan ini.

Sungai Viral kini menjadi tumpuan ramai. (Gambar kecil: Zamzuri)
Sungai Viral kini menjadi tumpuan ramai. (Gambar kecil: Zamzuri)

Peniaga ais kacang dan cendol di Kampung Cicak, Mohd Nazri Rahim, 42, berkata, dia dapat menjana pendapatan RM300 sehari.

"Saya berniaga setiap hari. Jika orang ramai, pendapatan cecah RM300. Jika pengunjung tak ramai dapatlah RM50," katanya.

Peniaga makanan, Hashimah Hamid, 52, berkata, perniagaan diusahakannya setiap petang itu mampu menampung pendapatan menoreh getah.

"Pagi saya menoreh, petang berniaga pula. Ada lah buat burger dan pisang goreng sedikit. Sejak sungai ini jadi tumpuan, boleh lah saya dan kawan-kawan cari rezeki tambahan," katanya.

Sukarelawan jaga keselamatan

Petugas keselamatan, Izaidin Ghazali, 43, berkata, buat waktu ini terdapat 20 petugas di Kampung Betong dan 15 petugas di Kampung Padang Cicak yang menjaga keselamatan pengunjung secara sukarela.

Katanya, belum berlaku sebarang kes lemas melibatkan nyawa namun orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati.

"Saya tidak benarkan orang ramai mandi di kawasan empangan kerana risikonya agak tinggi. Arus di situ kita tak dapat agak kelajuannya pada setiap waktu. Kita bimbang batu-batu besar itu menimpa pengunjung jika arus air deras," katanya.

Mohd Nazri dan isterinya sedang memproses ais kacang.
Mohd Nazri dan isterinya sedang memproses ais kacang.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia