PRU15: Kekecohan di Balai Raya Kampung Melang akibat salah faham

Acryl Sani (tiga, kanan) meninjau pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Sungai Kertas pada Sabtu. - Foto Bernama
Acryl Sani (tiga, kanan) meninjau pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Sungai Kertas pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berhubung kekecohan yang berlaku di sebuah pusat pembuangan undi di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kekecohan berlaku akibat salah faham selepas pusat pembuangan undi itu ditutup awal kerana tiada pengundi.

"Tetapi ada sebilangan pengundi yang datang lambat. Perkara ini kita serahkan kepada pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk memberi ulasan," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan di pusat pembuangan undi Parlimen Subang di Sekolah Kebangsaan Seri Selangor, USJ di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, tular video memaparkan pengundi tidak berpuas hati apabila pusat mengundi di Balai Raya Kampung Melang, di sini ditutup seawal jam 2 petang.

Dalam video yang dirakam orang awam itu, pintu pagar pusat mengundi berkenaan ditutup dan terdapat beberapa orang awam yang menunggu untuk masuk ke dalam dewan itu untuk mengundi.

Terdapat pengundi yang tidak berpuas hati kerana mendakwa sepatutnya pusat mengundi dibuka sehingga jam 6 petang.

Dalam perkembangan lain, Acryl Sani mengesahkan pihaknya turut menerima laporan berkenaan seorang warga emas ditemui tidak sedarkan diri selepas selesai membuang undi di Cheras.

Artikel Berkaitan:

Katanya, berdasarkan maklumat awal, beliau difahamkan bahawa tiada unsur jenayah dikesan dalam kematian warga emas berkenaan, bagaimanapun maklumat lanjut akan dikongsikan selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.

"Setakat ini kita tak tahu lagi punca kematian, jadi kita tunggu bedah siasat. Buat masa ini saya tak nak komen dahulu tetapi saya dimaklumkan tidak ada unsur jenayah dengan kematian warga emas itu," ujar beliau.

Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di seluruh negara pada Sabtu.

Menurutnya, setakat jam 4.50 petang, sekitar 14 juta rakyat Malaysia telah membuang undi.

"Saya difahamkan sekitar 14 juta orang atau 68.7 peratus pengundi telah selesai membuang undi. Daripada tinjauan yang saya buat, kita dapati keadaan sesak dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan sudah mula lengang.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua mereka yang terlibat dalam proses pengundian hari ini, semuanya terkawal dan orang awam semuanya mematuhi prosedur yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya kepada Sinar Harian.