PRU15: Trend peratusan keluar mengundi makin perlahan

Hujan tidak menghalang orang ramai untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRU15. - Foto Bernama
Hujan tidak menghalang orang ramai untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRU15. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat mula menunjukkan peningkatan yang perlahan selepas jam 12 tengah hari.

Berdasarkan kemas kini daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi dilihat meningkat kurang daripada 10 peratus bagi setiap satu jam sehingga jam 2 petang.

Statistik tersebut menunjukkan kenaikan peratusan keluar mengundi bagi tempoh antara jam 12 tengah hari hingga 1 petang adalah 50 peratus, manakala 1 hingga 2 petang (58 peratus).

Untuk rekod, peratusan keluar mengundi yang dikemas kini SPR bagi tempoh lima jam pertama menunjukkan peratusan melebihi 10 peratus bagi setiap jam.

Pada jam 9 pagi, peratusan keluar mengundi mencatatkan sebanyak 10 peratus, 10 pagi (20 peratus), 11 pagi (31 peratus) dan 12 tengah hari (42 peratus).

PRU15 menyaksikan perebutan 221 kerusi Parlimen selepas pengundian di Parlimen Padang Serai dibatalkan susulan calon Pakatan Harapan (PH), Karupaiya Mutusami meninggal dunia tiga hari sebelum hari mengundi akibat sakit jantung.

Jumlah itu menjadikan seramai 939 calon bertanding di Parlimen kali ini, berbanding jumlah asal, 945 orang termasuk enam calon di kerusi Padang Serai.

Pilihan raya kali ini turut melibatkan pengundian Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri iaitu Perlis, Perak dan Pahang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, satu DUN di Pahang iaitu Tioman turut berdepan situasi sama apabila calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi tersebut, Md Yunus Ramli meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Hospital Rompin kira-kira lima jam sebelum pengundian dibuka pada jam 8 pagi.

Seramai 20,853,681 pengundi dijangka menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih di 8,958 pusat mengundi bagi menentukan parti manakah yang akan membentuk kerajaan baharu pada PRU15 hari ini.