Perbincangan Freemasons, Mossad satu fitnah yang zalim: Hussamuddin

Hussamuddin Yaacub. (Gambar dalam) Tangkap layar video dan kenyataan berhubung dakwaan tular berkaitan perbincangan berhubung Freemasons atau ejen perisikan Israel (Mossad).
Hussamuddin Yaacub. (Gambar dalam) Tangkap layar video dan kenyataan berhubung dakwaan tular berkaitan perbincangan berhubung Freemasons atau ejen perisikan Israel (Mossad).
A
A
A

SHAH ALAM - Penasihat Kumpulan Karangkraf (Karangkraf), Datuk Hussamuddin Yaacub menafikan dakwaan bahawa beliau terlibat dalam sebarang majlis perbincangan berhubung Freemasons atau ejen perisikan Israel (Mossad) seperti mana dalam video yang tular di media sosial pada Jumaat.

Beliau memaklumkan, majlis tersebut merupakan sesi dialog biasa antara sekumpulan tokoh-tokoh media, perniagaan dan diplomat bersama Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Menjadi satu kebiasaan orang media diundang ke majlis eksklusif oleh tokoh-tokoh parti politik, pemimpin negara atau negeri, korporat, diplomat, kementerian dan lain-lain.

"Itu 'occupational privilage' (keistimewaan pekerjaan) kami. Adalah kerja kami untuk ada hubungan baik dengan semua pihak

"'Accessibility' (kebolehcapaian) itu penting buat kami," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, tular sebuah video dan kenyataan yang mendakwa bahawa terdapat perbincangan melibatkan tokoh-tokoh pemimpin politik, media, korporat dan lain-lain berhubung Freemasons atau Mossad sehari sebelum hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hussamuddin yang juga pengasas Kumpulan Karangkraf berkata, beliau dan Penasihat Editorial Kumpulan dan Hal Ehwal Korporat Star Media Group, Datuk Seri Wong Chun Wai turut diundang ke majlis berkenaan atas kapasiti sebagai veteran media.

"Di majlis tersebut, sambil makan tengah hari, DSAI (Anwar) diasak oleh tetamu dengan pelbagai soalan mengenai pilihan raya, ekonomi dan masa depan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya ini sesi soal jawab yang biasa saja.

"Tiada langsung perbincangan tentang Freemasons atau Mossad dan perkara-perkara yang sensitif," ujarnya.

Menurutnya, dakwaan tersebut disifatkan sebagai tuduhan fitnah yang zalim.

"Jika orang yang beragama dan takutkan balasan ALLAH SWT di akhirat nanti tak akan buat fitnah sebegini.

"Hentikan kerja kotor ini dan bertaubatlah sebelum terlambat," jelasnya.