Lelaki alami masalah pernafasan, jantung redah 120km demi undi

Mohd Fahmi menunjukkan jari berdakwat biru setelah selesai menjalankan tanggungjawab kepada negara di hadapan Pusat Pembuangan Undi Sekolah Kebangsaan Bukit Sagu 1, Kuantan pada Sabtu.
Mohd Fahmi menunjukkan jari berdakwat biru setelah selesai menjalankan tanggungjawab kepada negara di hadapan Pusat Pembuangan Undi Sekolah Kebangsaan Bukit Sagu 1, Kuantan pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki yang mengalami masalah pernafasan dan jantung sanggup meredah sejauh 120 kilometer (km) dari Nenasi Pekan ke Pusat Pembuangan Undi Sekolah Kebangsaan Bukit Sagu 1 demi memberikan satu undi kepada negara.

Mohd Fahmi Indera, 34, berkata, walaupun mendapat bantahan daripada ahli keluarga disebabkan tahap kesihatan yang membimbangkan, namun semangat untuk menunaikan tanggungjawab itu tetap dilaksanakan.

Menurutnya, ini kerana ia merupakan satu-satunya peluang untuk memilih pemimpin dan kerajaan yang akan memerintah lima tahun lagi.

"Kalau ikutkan ahli keluarga mereka memang berat hendak lepas saya membuang undi kerana saya tidak sihat dan baru lepas keluar hospital serta jauh dari tempat tinggal.

"Tapi, saya nekad untuk datang bagi memberi satu undi untuk memilih kerajaan walaupun sepanjang perjalanan saya perlu bergantung kepada oksigen," katanya ketika ditemui Sinar Harian di hadapan Pusat Pembuangan Undi Sekolah Kebangsaan Bukit Sagu 1 pada Sabtu.

Mohd Fahmi yang terpaksa meminta bantuan isteri, Suhana Mohamad, 36, memandu kereta sejauh itu untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.

"Sebelum ini saya boleh datang sendiri tanpa susahkan orang lain tapi sejak saya sakit tiga tahun lalu, saya terpaksa bergantung kepada orang lain.

"Tapi alhamdulillah, isteri memahami dan saya berterima kasih kepada isteri saya," ujarnya yang dibantu oleh petugas di pusat pembuangan undi terbabit membawanya menggunakan kerusi roda sepanjang proses itu.

Artikel Berkaitan: