PRU15: 'Captain America' sudah mengundi

Muhamad Shahrizal menunjukkan jarinya menandakan dia sudah menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi.
Muhamad Shahrizal menunjukkan jarinya menandakan dia sudah menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki menjadi tumpuan apabila hadir ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Aman di Air Itam di sini dengan berpakaian kostum adiwira Captain America.

Muhamad Shahrizal Mat Sahat, 35, berkata, tujuan dia mengenakan kostum itu adalah untuk menghiburkan para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pengundi yang hadir di pusat mengundi tersebut.

Menurutnya, dia juga ingin menyampaikan mesej bahawa semua orang yang layak mengundi perlu menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

"Ini adalah kali pertama saya mengenakan kostum Captain America ketika datang untuk membuang undi. Saya sengaja pakai kostum ini untuk menghiburkan petugas dan pengundi lain.

"Selain itu, saya nak beritahu orang ramai bahawa Captain America pun turun mengundi, jadi mereka yang layak mengundi juga perlu melakukan perkara sama," katanya ketika ditemui di SK Sri Aman di sini pada Sabtu.

Muhamad Shahrizal dilihat turut mempamerkan beberapa aksi adiwira ketika sedang beratur untuk mengundi.

Kata beliau lagi, sebelum ini dia bersama rakan-rakan yang dikenali sebagai Kumpulan Adiwira Pulau Pinang sering menghiburkan orang ramai dengan kostum pelbagai watak antaranya Predator, Black Panther dan sebagainya.

Captain America membuang undi di pusat mengundi di SK Sri Aman di Air Itam.
Captain America membuang undi di pusat mengundi di SK Sri Aman di Air Itam.

Artikel Berkaitan:

"Kami mengambil keputusan untuk turun mengundi dengan mengenakan kostum adiwira untuk menceriakan keadaan di pusat mengundi masing-masing.

"Rakan saya yang memakai kostum Predator turun mengundi di Dewan Komuniti di Farlim dan saya mengundi di SK Sri Aman di sini," katanya.

Ditanya mengenai perasaannya selepas membuang undi, dia bersyukur kerana dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

"Saya lega kerana dapat tunaikan tanggungjawab untuk memilih kerajaan dan pemimpin baharu untuk negara ini.

"Saya berharap agar kerajaan yang bakal dibentuk akan lebih prihatin dengan nasib rakyat terutamanya membantu mengurangkan kos sara hidup yang perlu dihadapi rakyat ketika ini," katanya.