PRU15: BN terbuka kritikan, bersedia terima pandangan rakyat

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

BAGAN DATUK - BN kini bergerak ke hadapan untuk melakukan reformasi di dalam parti dan kerajaan, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelasnya, mereka terbuka dengan segala kritikan dan bersedia untuk menerima pandangan daripada rakyat.

"BN bersedia untuk membuka lembaran baru, dengan membuat dasar-dasar yang lebih baik dan mengukuhkan pembangunan.

"Kami berjanji untuk melakukan perubahan yang progresif dalam masa beberapa bulan yang akan datang.

"BN berjanji, untuk memberikan yang lebih baik kepada rakyat selepas pilihan raya ini," katanya pada Perutusan Hari Mengundi di Dataran Bagan Datuk, malam ini.

Presiden UMNO itu berkata, BN juga beriltizam untuk mengangkat martabat Sabah dan Sarawak.

"Kami berjanji untuk membuka ruang bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada orang Sabah/Sarawak. Ini menunjukkan kesungguhan Barisan Nasional dalam memartabatkan wilayah-wilayah di Malaysia Barat.

"Kami komited kepada keperluan untuk menghidupkan semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ahmad Zahid, memajukan Sabah dan Sarawak akan membolehkan lebih banyak peluang ekonomi yang akan membawa kembali Malaysia kepada kegemilangannya.

Kurang 12 jam dari sekarang, semua pengundi berdaftar di Malaysia akan melaksanakan amanah mereka membuang undi bermula jam 8.00 pagi esok.