Pendedahan minit Lembaga Pengampunan tidak hormati institusi Agong – Wan Rosdy

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN – Tindakan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua mendedahkan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan sebagai perbuatan yang tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kuasa pengampunan merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, institusi Raja-Raja Melayu tidak seharusnya diperlakukan sedemikian, apatah lagi dijadikan bahan polemik politik.

“Jangan sampai berlaku keadaan ‘kaduk naik junjung’ apabila kebebasan dan ruang yang diberikan disalahgunakan sehingga terlupa akan batas, adab dan tanggungjawab menghormati institusi negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh membantah pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib, menurut minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) yang didakwa telah dinyahklasifikasikan.

Beberapa muka surat dokumen itu turut dikongsi oleh Tony Pua menerusi akaun Facebook miliknya, termasuk bahagian yang merekodkan pendirian Peguam Negara berhubung perkara berkenaan.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, pendedahan dokumen tersebut menimbulkan persoalan mengenai aspek keselamatan, kerahsiaan dan tatakelola dokumen kerajaan.

Beliau mempersoalkan bagaimana dokumen yang berkaitan dengan prosiding rasmi Lembaga Pengampunan boleh didedahkan kepada umum.

“Siapakah yang bertanggungjawab terhadap dokumen tersebut dan apakah prosedur penyahklasifikasiannya?” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap isu tersebut, termasuk meneliti kemungkinan berlakunya pelanggaran undang-undang berkaitan isu 3R melibatkan institusi raja, agama dan kaum.

Menurutnya, siasatan juga perlu merangkumi aspek keselamatan serta kerahsiaan dokumen kerajaan.

“Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau prosedur, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa pilih kasih.

“Perbezaan politik bukan lesen untuk memperlekeh institusi Raja-Raja Melayu.

“Menghormati Yang di-Pertuan Agong dan menjaga kerahsiaan dokumen kerajaan adalah soal prinsip, kedaulatan undang-undang serta tanggungjawab terhadap negara,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!