PRU15: Anwar nafi ada perjanjian antara PH-PN

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

IPOH - Pakatan Harapan (PH) menafikan terdapat perjanjian yang dibuat bersama Perikatan Nasional (PN) bagi mewujudkan gabungan kononnya dinamakan Perikatan Harapan sepertimana tular di media sosial.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyebaran dokumen perjanjian tersebut disifatkan sebagai satu penipuan oleh pihak yang terdesak.

Menurut beliau, tindakan tersebut dilakukan oleh pihak yang mengetahui mereka akan kalah jika bersaing secara bersih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Mula tular, saya dengan Zahid (Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Hamidi), sekarang dengan PN. Maka saya akan menasihatkan kawan-kawan, kepada pengundi dan rakyat Malaysia dalam keadaan beberapa jam ini banyak yang akan dikeluarkan, banyak fitnah lagi.

"Ini menunjukkan orang yang muflis akhlaknya dan terdesak. Bagi saya, teliti, jangan percaya dan rujuk kepada sumber yang sahih," katanya kepada pemberita ketika hadir bertemu pemain-pemain bola sepak selepas perlawanan persahabatan di Padang Halaman Meru Permai, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai dokumen perjanjian di antara PN dan PH yang tular di media sosial sejak semalam.

Sementara itu, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut optimis bahawa PH mampu memenangi PRU15 dengan majoriti mudah tanpa bergabung dengan mana-mana parti.

Menurutnya, PH mahu mengubah landskap politik negara dengan menolak rasuah, salah guna kuasa, perkauman dan sebagainya.

Artikel Berkaitan: