PRU15: Lebih 20 juta pengundi tentukan mandat esok

Petugas SPR menyusun peralatan untuk hari pengundian bagi P.040 Kemaman ketika tinjauan persiapan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Chukai pada Jumaat. - Foto Bernama
Petugas SPR menyusun peralatan untuk hari pengundian bagi P.040 Kemaman ketika tinjauan persiapan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Chukai pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 20,853,681 pengundi bakal menentukan mandat Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak menerusi kenyataan pada Jumaat memaklumkan, sebanyak 8,958 pusat mengundi dan 38,348 saluran dibuka dengan 363,515 petugas.

"Pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak," katanya.

Sekiranya pengundi tidak dapat hadir mengikut masa yang digalakkan, mereka masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 6 petang bagi semenanjung dan 7.30 pagi hingga 5.30 petang bagi Sabah dan Sarawak.

"Pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir," katanya.

Menurutnya, SPR turut mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi sebagaimana diperuntukkan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

Beliau berkata, pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi diingatkan agar tidak memakai apa-apa yang memaparkan nama, simbol atau calon parti.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang gagal mematuhi atau melanggar peruntukan ditetapkan boleh dihalang daripada memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya," katanya.

Dalam pada itu, Ikmalrudin menyarankan kepada pengundi yang positif Covid-19 untuk berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah (PKD) bagi mendapatkan maklumat lanjut dan sewajarnya bagi memudahkan urusan pengundian kelak.