[VIDEO] PRU15: PN Machang mahu Ahmad Jazlan disiasat

Ahmad Firdaus (dua dari kiri) bersama wakil PN Machang hadir ke IPD Machang ketika membuat laporan polis pada Khamis.
Ahmad Firdaus (dua dari kiri) bersama wakil PN Machang hadir ke IPD Machang ketika membuat laporan polis pada Khamis.
A
A
A

MACHANG - Perikatan Nasional (PN) Machang mahu polis melakukan siasatan ke atas calon BN Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berhubung satu kenyataan artikel berkait salah guna kuasa melibatkan tokoh berkenaan bernilai RM2.2 juta sebagaimana dilaporkan oleh sebuah portal giaklian.wordpress.com.

Portal tersebut mendakwa bekas penyandang kerusi Parlimen Machang itu telah menggunakan kedudukannya semasa memegang jawatan Timbalan Menteri Luar Bandar untuk mempengaruhi Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi meluluskan projek di atas sebidang tanah persendirian di Bukit Tiu, Machang dipercayai milik isterinya sendiri.

Timbalan Ketua Pemuda PN Machang, Ahmad Firdaus Nawi berkata, berdasarkan penulisan itu terdapat keterangan yang menyatakan bahawa projek ini sememangnya telah diluluskan di peringkat Menteri KKLW pada waktu tersebut.

"Tujuan saya membuat laporan ini adalah supaya pihak polis menyiasat keabsahan status penulisan di dalam laman sesawang terbabit.

"Ia agar dapat menangani kegelisahan rakyat kerana beliau adalah calon bagi Parlimen Machang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang di sini pada Khamis.

Laporan yang dibuat pada jam 12.15 tengah hari itu turut dihadiri oleh 30 wakil PN Machang.

Artikel Berkaitan:


Dakwaan salah guna kuasa itu fitnah - Ahmad Jazlan

Sementara itu, Calon BN Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menjelaskan dakwaan salah guna kuasa semasa menjadi Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang disebarkan oleh sebuah portal adalah fitnah.

"Sebelum ini saya tidak menjawab walaupun difitnah. Tetapi hari ini saya amat sedih dan terkilan apabila pihak berkenaan yang bertanding di Machang guna logo Pas buat fitnah.

"Cerita sebenarnya ia melibatkan pembinaan sebuah masjid Ar-Razaq yang digunakan untuk kegunaan bersama komuniti setempat dan pelajar-pelajar tahfiz," katanya semasa sidang akhbar di sini pada Khamis.

Menurut beliau, tuduhan yang dilemparkan itu dikatakan berlaku semasa menjadi Timbalan Menteri dan mendakwanya telah meluluskan peruntukan RM2.2 juta bagi membina masjid tersebut.

Ujarnya, perkara tersebut boleh disemak di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Beliau memberitahu, Timbalan Menteri tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

"Pada waktu itu kalau tidak silap saya Ketua Setiausaha Kementerian yang membuat kelulusan dan ia hanya melibatkan peruntukan sebanyak RM188,000 sahaja.

"Nilai tersebut tidak cukup untuk membina sebuah masjid dan saya mendapat sumbangan daripada ahli keluarga, sahabat yang ingin bersedekah bagi menyiapkannya," katanya.

Ahmad Jazlan berkata, tidak timbul isu mengenai masjid berkenaan telah dibina di atas tanah milik isterinya kerana tanah tersebut telah diwakafkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Ahmad Jazlan menunjukkan bukti status pembinaan Masjid Ar-Razaq semasa sidang akhbar di Machang pada Khamis.
Ahmad Jazlan menunjukkan bukti status pembinaan Masjid Ar-Razaq semasa sidang akhbar di Machang pada Khamis.