Adam Adli digesa mohon maaf pada kerajaan terdahulu - Pemuda MCA

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim digesa memohon maaf secara terbuka kepada rakyat dan kerajaan terdahulu, khususnya Barisan Nasional (BN) kerana mempolitikkan dasar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, ia kerana dasar PTPN yang dahulu digambarkan sebagai penindasan kini diakui sebagai perlu setelah Pakatan Harapan (PH) berada dalam tampuk pemerintahan.
Ujar beliau, tindakan Adam yang menyokong cadangan mengenakan sekatan ke luar negara terhadap peminjam PTPTN jelas bercanggah dengan pendirian beliau sebelum ini ketika bergelar sebagai aktivis pelajar dan pemimpin pembangkang.
“Adam mungkin sudah lupa, apabila bergelar aktivis pelajar sekitar tahun 2010 dulu, bagaimana beliau berjuang untuk menghapuskan PTPTN, termasuk tidur dalam khemah di Dataran Merdeka serta berarak di jalanan.
“Ada diantara peserta mengangkat batu nisan bersama potret Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dikalungkan bunga.
“Ketika itu, beliau (Adam) bukan sahaja lantang menentang langkah berkenaan, malah menuduh kerajaan BN bersikap zalim dan tidak prihatin terhadap nasib anak muda,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan Adam Adli berkata, sekatan perjalanan ke luar negara hanya dikenakan terhadap peminjam PTPTN berpendapatan tinggi dan mencukupi yang culas membuat bayaran balik.
Ujar Adam Adli, tindakan tegas itu bukan kepada peminjam yang baru menamatkan pengajian atau belum mempunyai pendapatan, apatah lagi mereka yang tergolong dalam kalangan B40 atau M40.
Menurut Yew Chuan, Adam Adli juga digesa mengemukakan cadangan lebih berkesan dan praktikal sekiranya beliau mempunyai idea yang lebih bernas dalam menangani masalah tersebut.
“Rakyat, khususnya golongan muda, berhak menilai siapa yang benar-benar bertanggungjawab dalam menjaga masa depan pendidikan negara, dan siapa yang sekadar menabur janji serta retorik politik,” ujar beliau.
Katanya, langkah yang diambil oleh kerajaan terdahulu dalam menangani isu peminjam PTPTN yang culas adalah bersifat bertanggungjawab, berlandaskan kepentingan awam dan kelangsungan dana pendidikan negara.
“Sekatan perjalanan, antara lain diperkenalkan sebagai mekanisme terakhir untuk memastikan peminjam yang berkemampuan menunaikan tanggungjawab mereka, demi memberi peluang kepada generasi seterusnya menikmati manfaat yang sama.
“Ini membuktikan bahawa kritikan sebelum ini bukanlah berdasarkan realiti pentadbiran, sebaliknya bermotifkan politik semata-mata,” kata Yew Chuan.
Ringkasan AI
- Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim digesa memohon maaf kerana mempolitikkan dasar PTPTN
- Adam Adli sebelumnya menentang PTPTN sebagai aktivis pelajar dan pemimpin pembangkang
- Beliau pernah berjuang untuk menghapuskan PTPTN termasuk tidur dalam khemah di Dataran Merdeka
- Adam Adli menyokong sekatan perjalanan ke luar negara untuk peminjam PTPTN berpendapatan tinggi yang tidak membuat bayaran
- Sekatan perjalanan diperkenalkan sebagai mekanisme terakhir untuk memastikan peminjam yang berkemampuan menunaikan tanggungjawab mereka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

