PRU15: Polis kenal pasti lokasi alternatif PPS

Mohd Shuhaily (kanan) bertanya sesuatu kepada salah seorang anggota selepas sesi taklimat PRU kepada anggota dan pegawai Kontinjen Pulau Pinang pada Khamis.
Mohd Shuhaily (kanan) bertanya sesuatu kepada salah seorang anggota selepas sesi taklimat PRU kepada anggota dan pegawai Kontinjen Pulau Pinang pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis bersama kerajaan Pulau Pinang dan beberapa agensi lain antaranya Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengenal pasti lokasi alternatif untuk pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya berlaku bencana banjir pada hari mengundi nanti.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, lokasi pusat mengundi yang sebelum ini dijadikan PPS kekal sebagai pusat mengundi dan akan dipindahkan ke lokasi alternatif sekiranya berlaku banjir.

"Semua agensi termasuk polis sudah bersedia sekiranya berlaku banjir pada Sabtu ini. Polis bersama kerajaan negeri dan beberapa agensi terlibat telah mengenal pasti lokasi PPS alternatif.

"Oleh itu, mana-mana lokasi PPS yang sebelum ini dijadikan pusat mengundi, ia akan kekal sebagai pusat mengundi. Kita akan tukar PPS tersebut ke PPS alternatif yang terletak di sekitar kawasan yang terlibat," pada sidang akhbar di Dewan Sri Pinang selepas sesi taklimat PRU kepada anggota dan pegawai Kontinjen Pulau Pinang pada Khamis.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang akan melanda beberapa kawasan di seluruh negara mulai 13 November hingga hari pengundian PRU15 pada 19 November.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan pada 12 November lalu, MetMalaysia berkata, analisis model cuacanya menganggarkan cuaca ekstrem dijangka kebanyakannya menjejaskan kawasan luar bandar, barat Semenanjung, Sarawak dan barat Sabah, terutama pada waktu petang yang berlarutan hingga malam, sepanjang tempoh tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, Polis Pulau Pinang hanya menerima 34 laporan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding 301 laporan yang diterima pada PRU14 lalu manakala jumlah kertas siasatan bagi PRU15 juga menurun dengan 12 kertas siasatan dibuka berbanding 27 pada PRU14.

"Bagi kertas enkuiri polis (KEP) pula, pada pilihan raya kali ini, kita hanya buka satu sahaja sementara pada pilihan raya yang lalu, rekod mencatatkan 37 KEP telah dibuka.

Artikel Berkaitan:

"Sementara itu, bagi jumlah pertuduhan pula, seramai empat orang dituduh pada PRU15 berbanding dua pada PRU14," katanya.

Tempoh yang diambil bagi PRU15 adalah dari 4 hingga 16 November manakala bagi PRU14 adalah dari 28 April hingga 12 Mei 2018.

Sementara itu, beliau berkata, faktor jumlah laporan polis dan jumlah kertas siasatan dibuka berkurangan bagi PRU15 adalah disebabkan cuaca dan tiada pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang.

Mohd Shuhaily menambah, sehingga kini, sebanyak 1,253 permohonan permit ceramah telah diluluskan oleh ketua polis daerah dengan 456 permit telah dilaksanakan.

"Seramai 4,470 pegawai dan anggota akan bertugas dalam pelbagai tugas termasuk kawalan lalu lintas dan keselamatan di 331 pusat mengundi dan 2,134 saluran di negeri in.

"Saya ingin mengingatkan kepada semua pihak terutamanya penyokong parti agar tidak membuat provokasi ketika hari pembuangan undi serta selepas keputusan pilihan raya diperolehi. Ia bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini," katanya.