Polis kenal pasti peserta demonstrasi kalimah ALLAH

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis telah mengenal pasti kumpulan peserta dan penganjur demonstrasi membantah penarikan rayuan kes kalimah ALLAH di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Anak Embol berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Polis tidak menerima sebarang permohonan atau notis pemakluman anjuran demonstrasi bantahan terbabit.

"Kita buka kertas siasatan dan individu yang terlibat telah dikenal pasti untuk tindakan lanjut termasuk proses rakam keterangan dalam masa terdekat," katanya pada Jumaat.

Sebelum itu, himpunan kira-kira jam 2 petang itu disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan puluhan orang ramai selepas selesai solat Jumaat.

Demonstrasi yang dikawal ketat pihak polis itu bagaimanapun berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini berlaku.

Perhimpunan itu antaranya menuntut proses perbicaraan terus dijalankan dan isu berkenaan diselesaikan tanpa campur tangan politik.

Isnin lalu, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) membantah sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan Perpaduan menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘ALLAH’ dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka.

Setiausaha Agungnya, Mohd Aswanizam Alias berkata, tindakan keputusan unilateral kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa merujuk dan berunding dengan pemegang taruh utama melibatkan isu umat Islam ini juga boleh dianggap melampau dan boleh mencetuskan keadaan yang tidak baik dalam negara.