Tumpu pemulihan pelajar tercicir

Isahak (tengah), Soon Seng (kanan) dan Kamarul Bahrin dalam Program Sinar Daily GE15 Last Lap bertajuk Masa Depan Pendidikan Ke Tahap Yang Lebih Baik pada Rabu.
Isahak (tengah), Soon Seng (kanan) dan Kamarul Bahrin dalam Program Sinar Daily GE15 Last Lap bertajuk Masa Depan Pendidikan Ke Tahap Yang Lebih Baik pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berwajib diminta untuk mengenal pasti dan menumpukan kepada pemulihan pelajar yang tercicir ketika negara melakasanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.

Profesor Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Harun berkata, pembelajaran secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah memberikan kesan besar kepada ramai pelajar yang gagal mendapat pendidikan sewajarnya.

"Tentu sekali apabila belajar melalui komputer, pelajar tidak dapat ikut apa yang diajar cikgu sepenuhnya. Pelajar tidak biasa dengan cara pembelajaran itu menyebabkan mereka akan ketinggalan.

"Jika itu berlaku, ada learning loss selama dua tahun sepanjang PdPR itu sama ada dalam pembacaan atau menulis, sekiranya mereka tidak pergi sekolah selama dua tahun maka mereka tidak akan boleh baca dengan lancar.

"Kalau pelajar lemah di peringkat bawah ini, kelemahan itu akan berterusan walaupun mereka sudah berada di darjah atau tingkatan berbeza," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Sinar Daily GE15 Last Lap bertajuk Masa Depan Pendidikan Ke Tahap Yang Lebih Baik pada Rabu.

Program itu turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Teach For Malaysia, Chan Soon Seng manakala Kamarul Bahrin Haron bertindak sebagai moderator.

Isahak berkata, ujian perlu diberikan kepada semua pelajar untuk melihat sejauh mana kelemahan yang dihadapi mereka sepanjang dua tahun PdPR itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya pernah tulis bahawa kita perlu beri ujian dulu kepada pelajar untuk melihat tahap mereka berada. Kita kena sesuaikan pemulihan itu kepada subjek tertentu.

"Jika mereka lemah bahasa Inggeris, mereka kena beri penekanan kepada subjek itu. Ia bukan soal umur sekarang ini sebaliknya keupayaan pelajar itu," katanya.

Dalam pada itu, Soon Seng menyifatkan situasi itu amat membimbangkan jika tidak ditangani dengan baik.

"Secara literalnya, pelajar yang berada di darjah satu sebelum PKP sekarang ini berada di darjah empat dan tercicir dua tahun dalam pelajaran. Apabila mereka kembali ke sekolah ada yang telah terlupa bagaimana menulis dan membaca.

"Tetapi, sekarang mereka perlu belajar silibus darjah empat. Jadi, kita perlu memberikan peranan besar kepada cikgu untuk menilai tahap pelajar dan kemudian memberikan kebebasan bagaimana untuk mengajar pelajar," katanya,